Institusi Raja Bukan Jenaka Politik – Fadzmel
KUALA LUMPUR, 8 Nov – Ketua Pemuda UMNO Setiawangsa, Fadzmel Fadzil mempersoalkan tindakan Datuk Afdlin Shauqi yang didakwa menyindir pendirian UMNO berhubung isu institusi diraja, sambil menegaskan bahawa perkara melibatkan institusi diraja tidak wajar dijadikan bahan jenaka politik.
Menurutnya, perbahasan mengenai institusi diraja menuntut ketelitian, kebijaksanaan dan kefahaman terhadap kerangka Perlembagaan, bukannya sekadar menghasilkan sindiran atau ‘punchline’ untuk meraih perhatian.
“Titah bukanlah ‘meter elektrik’ atau apa pun yang cuba Datuk sampaikan. Percayalah, bukan semua perkara perlu dijadikan bahan lawak,” katanya.
Fadzmel berkata, Afdlin sendiri mengakui bahawa isu di Negeri Sembilan dan isu membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai fakta serta proses undang-undang yang berbeza.
Justeru, katanya, perbezaan dari sudut perundangan, adat dan kedudukan institusi perlu diperjelaskan terlebih dahulu sebelum membuat kesimpulan bahawa UMNO mempunyai pendirian berbeza atau bersikap tidak konsisten mengikut kepentingan politik.
Beliau menegaskan, penghormatan terhadap institusi diraja merupakan antara prinsip yang termaktub dalam teras Perlembagaan UMNO.
“Dalam isu Negeri Sembilan, UMNO sentiasa memberikan penerangan mengenai pendiriannya serta menguruskan tanggungjawab untuk menjunjung institusi diraja dan adat.
“Struktur adat di Negeri Sembilan mempunyai keunikan tersendiri dan tidak boleh disamakan secara mudah dengan sistem di negeri-negeri Melayu lain. Perkara inilah yang perlu difahami dan dipelihara,” katanya.
Bagaimanapun, Fadzmel mempersoalkan ketiadaan penjelasan menyeluruh daripada kepimpinan parti Afdlin berhubung keputusan Peguam Negara dalam isu Najib, khususnya apabila perkara itu dikaitkan dengan kemurkaan Yang di-Pertuan Agong.
Katanya, perbahasan sepatutnya menjurus kepada persoalan asas mengenai keputusan berkenaan, kedudukan titah Yang di-Pertuan Agong serta bagaimana isu itu diuruskan sehingga mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat.
“Daripada mengheret UMNO ke dalam sindiran, lebih baik Datuk tampil menjelaskan keputusan tersebut dan bagaimana perkara ini diuruskan sehingga menimbulkan persoalan serta keresahan rakyat,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa isu berkenaan tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai persoalan berkaitan Datuk Seri Najib, sebaliknya perlu diteliti dari sudut implikasi terhadap struktur dan prinsip perlembagaan negara.
“Ini bukan isu Datuk Seri Najib semata-mata. Ia sudah menjadi persoalan mengenai struktur perlembagaan.
“Jika tafsiran pegawai undang-undang boleh menjadi faktor yang menyekat pelaksanaan titah kurnia Yang di-Pertuan Agong, maka perkara itu perlu diperjelaskan secara tuntas kerana ia berpotensi mewujudkan satu duluan yang mempunyai implikasi lebih luas terhadap sistem perlembagaan negara,” katanya.
Sehubungan itu, Fadzmel mengingatkan Afdlin bahawa kedudukannya sebagai pemimpin di Setiawangsa turut membawa tanggungjawab untuk memberikan penerangan kepada masyarakat, khususnya dalam isu yang menyentuh institusi diraja dan kefahaman terhadap Perlembagaan.
Katanya, sindiran terhadap UMNO tidak menjawab persoalan pokok yang dibangkitkan, malah perbezaan fakta dan proses undang-undang perlu dihuraikan secara terbuka supaya rakyat tidak terus keliru.
Beliau turut merujuk kepada reaksi orang ramai terhadap kenyataan Afdlin di media sosial yang menurutnya menunjukkan masih terdapat persoalan yang memerlukan penjelasan.
“Rakyat bukan sekadar mahu mendengar sindiran. Mereka mahu penjelasan, fakta dan pendirian yang jelas, khususnya apabila isu yang dibangkitkan melibatkan institusi diraja serta kedudukan Perlembagaan negara,” katanya. – UMNO Online
