MB Johor Sifatkan Rakyat Melaka Bijak Menilai, Pilih Pemimpin Boleh Bekerja
SERKAM, 8 Nov – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyifatkan rakyat semakin bijak menilai kredibiliti pemimpin berdasarkan rekod kerja dan kemampuan menunaikan janji, bukannya sekadar mendengar pelbagai retorik politik.
Beliau berkata, meskipun dirinya dan beberapa pemimpin lain berdepan pelbagai tohmahan serta label negatif, perkara itu tidak menghalang mereka daripada terus melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.
“Baru-baru ini, saya pun dilabel angkuh, sombong. Dekat Melaka saya kena label sombong dan angkuh. Dekat Johor dia panggil saya macam-macam. Dia panggil saya racist, dia panggil saya budak-budak, dia cakap saya tak cukup tinggi, dia kata saya kurang cerdik.
“Namun begitu, masa dekat Johor, walaupun pelbagai tohmahan yang dilemparkan kepada kita, rakyat ajohor dapat bezakan intan dan permata,” katanya.

Menurut beliau, rakyat Johor telah membuktikan kebijaksanaan mereka dalam membuat pilihan dengan menilai antara janji politik dan hasil kerja sebenar.
“Rakyat Malaysia, orang Johor, bijak memilih. Dapat bezakan pemimpin-pemimpin yang hanya pandai menanam tebu di bibir.
Biar apa pun mereka lontarkan, kredibiliti mereka dah tak ada. Orang Malaysia dah tak percaya dengan kepimpinan yang ada pada hari ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat di Melaka memberikan kepercayaan kepada BN…berikan kepercayaan kepada calon BN DUN Serkam, Datuk Azman Abdullah yang disifatkan sebagai calon yang akan bekerja habis-habisan untuk kawasan berkenaan.
“Tolong bagi kepercayaan yang tidak berbelah bahagi kepada beliau. Kita bekerja keras untuk beliau dua minggu ini. Beliau akan balas budi, jasa baik tuan-tuan semua, lima tahun jadi ‘hamba abdi’ untuk orang sini,” katanya.
Beliau turut menyeru pengundi keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian bagi memilih calon BN dan Perikatan Nasional. – UMNO Online
