PRN Melaka: Momentum Gelombang Biru, Jangan Sia-siakan Peluang – Jalaluddin Alias

TABOH NANING, 4 Nov – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, sokongan luar biasa yang ditunjukkan pengundi di kebanyakan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), khususnya di Parlimen Masjid Tanah, begitu positif terhadap Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jelebu menjelaskan, perkembangan itu amat menggembirakan dan memberikan keyakinan bahawa momentum gelombang biru berkenaan mampu dikekalkan sehingga hari pengundian pada 14 November ini.

“Saya dapati sokongan masyarakat dan rakyat di kebanyakan DUN, khususnya di Parlimen Masjid Tanah, amat menggalakkan. Sokongan yang ditunjukkan cukup luar biasa dan Insya-Allah kita berharap momentum ini dapat dikekalkan sehingga 14 November nanti sebelum diterjemahkan ke peti undi.

“Semua calon yang telah diberikan mandat dan dipilih parti untuk bertanding kali ini mampu mempertahankan kerusi masing-masing dengan kejayaan serta majoriti yang lebih besar.

“Jentera perlu turun padang, berjumpa pengundi, merayu sokongan dan mendapatkan semula kepercayaan mereka. Jangan lepaskan peluang yang ada kerana setiap pertemuan membawa makna dalam usaha memastikan kemenangan BN,” katanya kepada UMNO Online.

Tambah Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu, peranan bapa-bapa angkat yang ditugaskan membantu kawasan tertentu perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkukuh jentera tempatan, sekali gus memastikan pendekatan bersemuka dengan pengundi dilaksanakan secara menyeluruh.

“Berbaki tempoh 12 hari berkempen perlu digunakan sebaik mungkin tanpa sebarang alasan untuk mendekati seramai mungkin pengundi daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“Saya percaya pengundi sedang menilai dan sebahagian besarnya telah mempunyai pertimbangan berdasarkan rekod khidmat serta prestasi cemerlang yang ditunjukkan ADUN BN di kawasan Parlimen Masjid Tanah,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jelebu menegaskan BN bersedia menghadapi sebarang bentuk kempen provokasi yang akan dimainkan pihak lawan sepanjang tempoh PRN Melaka, namun semua parti yang bertanding diingatkan supaya sentiasa menjaga adab, etika dan tata laku ketika berkempen.

“Kita sudah bersedia menghadapi apa juga bentuk kempen provokasi daripada pihak lawan. Cuma, kita berharap setiap parti yang bertanding dapat menjaga tata laku sepanjang tempoh berkempen.

“Saya juga ingin mengingatkan semua jentera BN dan PN supaya berkempen secara berhemah, mengikut etika dan tidak saling menjatuhkan, khususnya dengan membangkitkan perkara berkaitan hal peribadi,” katanya lagi.

Tegasnya, setiap parti perlu tampil membawa visi, wawasan serta aspirasi rakyat yang mampu diterjemahkan kepada agenda pembangunan dan pentadbiran sepanjang tempoh lima tahun akan datang.

“Kita berkempen dengan membawa satu visi, wawasan dan hasrat rakyat untuk diterjemahkan dalam tempoh lima tahun akan datang, Insya-Allah,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO