Pastikan Kawasan Ketinggalan Diberi Keutamaan – Naim Moktar

KUALA LUMPUR, 4 Nov – Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Mohd Kurniawan Naim Moktar mempersoalkan mekanisme kerajaan untuk memastikan kawasan yang ketinggalan diberi keutamaan berdasarkan keperluan sebenar.

Ini kerana katanya, masalah jalan raya, bekalan air bersih dan kestabilan elektrik dilihat merencatkan kegiatan perladangan sawit dan pelancongan hidupan liar yang berpotensi besar.

“Kinabatangan mempunyai kegiatan perladangan sawit dan pelancongan hidupan liar yang berpotensi besar, namun penduduk masih berhadapan dengan masalah jalan raya, bekalan air bersih dan kestabilan elektrik. Ketiga-tiga kemudahan ini menjadi asas kepada peningkatan pendapatan, perkembangan perniagaan dan kemasukan pelaburan.

“Namun demikian, jalan yang rosak meningkatkan kos membawa hasil. Bekalan air yang tidak menentu mengganggu kehidupan dan perniagaan. Gangguan elektrik pula menjejaskan penyimpanan makanan, pemprosesan hasil dan operasi pengusaha kecil. Kekurangan ini membataskan usaha penduduk meningkatkan taraf hidup walaupun kawasan mereka mempunyai sumber ekonomi.

“Justeru itu, saya meminta agar pihak kementerian menjelaskan bagaimana pengagihan pembangunan mengambil kira keluasan kawasan, taburan penempatan, kekurangan dan kos pembinaan di Sabah. Apakah mekanisme bagi memastikan kawasan yang ketinggalan diberi keutamaan berdasarkan keperluan sebenar?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Dalam pada itu, belia turut memohon semakan menyeluruh terhadap kelulusan status, penyaluran peruntukan dan kemajuan fizikal projek pembangunan di Kinabatangan.

“Bagi projek tertangguh, nyatakan puncanya, agensi bertanggungjawab dan tempoh penyelesaian. Kementerian perlu menyelaraskan perancangan jalan, air dan elektrik supaya kemudahan ini menyokong kawasan pertumbuhan ekonomi yang sama.

“Kedua, saya merujuk kepada butiran 00113, Pembangunan Koridor, berhubung pembangunan industri hiliran dan penyertaan perusahaan tempatan. Persoalan utama saya ialah sejauh mana kekayaan sumber Kinabatangan menghasilkan manfaat kepada penduduknya. Kegiatan perladangan dan pelancongan perlu membuka ruang kepada masyarakat setempat menyertai aktiviti yang memberikan pulangan yang lebih tinggi.

“Sehubungan itu, apakah perancangan kementerian untuk membangunkan industri hiliran sawit, pemprosesan hasil tempatan dan rantaian bekalan pelancongan di Kinabatangan?

“Saya mencadangkan pemetaan peluang perniagaan bagi perusahaan dan koperasi tempatan termasuk pembekalan makanan, penyelenggaraan, pengangkutan serta perkhidmatan pelancongan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berpandangan bahawa kerjasama dengan syarikat besar perlu membuka akses kepada kontrak, bimbingan teknikal dan pemindahan teknologi.

“Perusahaan tempatan memerlukan sokongan untuk memenuhi piawaian pembekalan, meningkatkan kapasiti pengeluaran dan membina hubungan perniagaan berterusan.

”Malah, kemudahan pengumpulan, penyimpanan dan pemprosesan hasil pula hendaklah dibangunkan berdasarkan keperluan pengusaha serta permintaan pasaran.

“Saya meminta kementerian memperincikan sasaran penyertaan perusahaan tempatan dan nilai perolehan yang dapat dikekalkan dalam ekonomi Kinabatangan,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO