Usah Guna Dua Kayu Ukur, Henti Burukkan BN – Mohd Zaidy
JEMPOL, 4 Nov – Pihak yang selama ini lantang menuding jari dan menuduh Barisan Nasional (BN) mengkhianati Kerajaan Perpaduan hanya kerana memilih untuk bergerak solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu menjelaskan pendirian mereka apabila Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut mengambil pendekatan sama dalam menghadapi PRN Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata, keputusan politik sesebuah parti untuk menentukan strategi pilihan rayanya sendiri tidak seharusnya dijadikan alasan untuk melontarkan tuduhan melulu, apatah lagi sehingga menggambarkan BN sebagai parti yang tidak menghormati semangat Kerajaan Perpaduan.
Menurut beliau, tindakan sesetengah pihak yang begitu cepat melabel BN sebagai pengkhianat, melakukan sabotaj dan pelbagai dakwaan negatif sebelum ini menimbulkan persoalan mengenai prinsip serta konsistensi mereka dalam menilai keputusan politik parti-parti lain.

“Apabila BN memilih untuk bergerak solo, macam-macam tuduhan dilemparkan. BN dituduh mengkhianati Kerajaan Perpaduan, kononnya mahu mensabotaj kerajaan dan tidak mempunyai komitmen terhadap kestabilan politik.
“Tetapi apabila GPS mengambil pendirian untuk bergerak sendiri, tidak bekerjasama dengan PKR mahupun Dap dalam PRN Sarawak, mengapa pula suara yang sama tidak kedengaran dengan nada yang serupa?
“Janganlah menggunakan dua kayu ukur. Jika GPS berhak menentukan strategi politiknya sendiri atas alasan kepentingan Sarawak, BN juga mempunyai hak yang sama untuk membuat keputusan berdasarkan realiti politik, aspirasi akar umbi dan kepentingan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pendirian GPS yang menegaskan akan bergerak secara bersendirian dan bertanding di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada PRN ke-13.
Mohd Zaidy menegaskan, kerjasama membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan tidak bermakna setiap parti perlu mengorbankan identiti, prinsip perjuangan dan hak menentukan strategi masing-masing dalam setiap pilihan raya negeri.
Katanya, perbezaan strategi politik tidak sepatutnya terus ditafsirkan sebagai pengkhianatan, sebaliknya perlu dilihat berdasarkan konteks, keperluan dan mandat yang ingin diperjuangkan oleh setiap parti.
“Jangan apabila BN membuat keputusan sendiri, bergerak solo dan menjalin kerjasama dengan parti politik lain terus dicari salah dan dibina persepsi negatif. Politik bukan medan untuk menabur fitnah, mencipta persepsi dan memburukkan rakan dalam kerajaan semata-mata untuk meraih keuntungan politik.,” tegasnya.
Dalam pada itu, Mohd Zaidy berkata, mandat rakyat bukan sekadar angka kemenangan atau pembahagian kerusi, tetapi amanah besar yang menuntut setiap pemimpin memberikan khidmat dan menyelesaikan masalah rakyat.
“Bagi BN, perjuangan kita bukan semata-mata mahu mendapatkan kerusi atau mempertahankan kedudukan politik. Apa yang lebih penting ialah masa depan rakyat, kestabilan kehidupan mereka dan pembangunan yang benar-benar sampai kepada masyarakat.
“BN mempunyai prinsip perjuangan dan tanggungjawab sendiri. Kita tidak perlu meminta izin pihak lain untuk mempertahankan kepentingan rakyat dan memperkukuh kepercayaan masyarakat terhadap perjuangan parti,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya menghentikan politik tuduh-menuduh yang hanya mengundang perpecahan, sebaliknya memberikan ruang kepada rakyat menilai setiap parti berdasarkan prestasi, sumbangan dan keupayaan melaksanakan amanah.
“Jangan jadikan BN sebagai sasaran setiap kali ada perbezaan pendapat. Kalau mahu bercakap soal kesetiaan, semua pihak perlu menunjukkan prinsip yang konsisten.
“Jangan hanya berani menuding jari kepada BN, tetapi memilih untuk berdiam diri apabila parti lain mengambil keputusan politik yang serupa. Rakyat boleh menilai sendiri perbezaan antara perjuangan berasaskan prinsip dengan politik yang hanya mahu membina persepsi negatif,” katanya. – UMNO Online
