PRN: Gerak Kerja Diperkasa, Pastikan Tiada Yang Tertinggal
KOTA MELAKA, 4 Nov – Gerak kerja Pilihan Raya Negeri (PRN) terus diperkukuh apabila Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul turun padang bersama jentera UMNO Sabah menerusi Program Ziarah Kasih di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Padang Temu, Telok Mas.
Program berkenaan menghimpunkan kepimpinan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO bersama petugas-petugas jentera Sabah bagi PDM Padang Temu sebagai sebahagian daripada usaha memperkemas penyelarasan gerak kerja, memperkukuh semangat berpasukan serta memastikan setiap tanggungjawab sepanjang tempoh kempen dilaksanakan dengan sebaiknya.

Sharif Musa menegaskan bahawa kekuatan gerak kerja di lapangan bergantung kepada komitmen setiap petugas untuk melaksanakan amanah, mendekati masyarakat dan memastikan tiada kelompok penduduk yang terpinggir daripada perhatian.
“Dalam menghadapi PRN ini, setiap petugas perlu memainkan peranan masing-masing. Kita mesti terus turun padang, menyantuni masyarakat, mendengar suara mereka dan memastikan setiap amanah dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.
“Jangan ada yang tertinggal. Kita mahu jentera bergerak secara tersusun, saling bekerjasama dan memberikan komitmen sepenuhnya dalam membantu kempen calon Barisan Nasional (BN),” katanya.
Menurut beliau, Program Ziarah Kasih bukan sekadar kunjungan biasa, sebaliknya menjadi ruang penting untuk membina hubungan serta memastikan gerak kerja kempen sentiasa berpaksikan pendekatan mesra rakyat.

“Setiap kunjungan membawa makna, setiap amanah ada tanggungjawab dan setiap suara masyarakat perlu didengari. Komitmen kita bukan sekadar hadir dalam program, tetapi memastikan kerja di lapangan dilaksanakan secara berterusan,” katanya.
Jentera UMNO Sabah membantu kempen BN bersempena PRN Melaka yang hari pengundiannya dijadual pada 14 Nov ini. DUN Melaka dibubarkan secara rasmi berkuat kuasa 23 Sept lepas selepas mendapat perkenan daripada Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.
Pada PRN Melaka 2021, BN membentuk kerajaan selepas menang 21 daripada 28 kerusi dipertandingkan, manakala PH menang lima kerusi dan PN dengan dua kerusi. – UMNO Online
