Ahmad Zahid Mahu Pembangunan Sukan Negara Diperkasa Secara Menyeluruh
KUALA LUMPUR, 4 Nov – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan bagi menyelaras usaha pembangunan industri sukan negara secara lebih menyeluruh melibatkan kementerian dan agensi berkaitan.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, pembangunan sukan negara perlu dilaksanakan secara bersepadu dan tidak boleh bergerak secara bersendirian tanpa kerjasama semua pihak berkepentingan.
Menurutnya, pendekatan whole-of-nation perlu terus diperkasakan dengan menggabungkan kekuatan kerajaan, persatuan sukan, institusi, sektor swasta serta semua pihak yang terlibat dalam ekosistem sukan negara.
“Bagi saya, pembangunan sukan tidak boleh bergerak secara silo. Kita perlu terus menggunakan pendekatan whole-of-nation dalam menyatukan kekuatan Kerajaan, persatuan sukan, institusi, sektor swasta dan semua pihak yang berkepentingan,” katanya.
Ahmad Zahid turut menegaskan setiap program pembangunan sukan yang dilaksanakan selepas ini perlu mempunyai petunjuk keberhasilan yang jelas bagi memastikan setiap inisiatif memberikan impak sebenar.
Katanya, keberhasilan program berkenaan perlu dinilai berdasarkan kesannya terhadap prestasi atlet, pembangunan bakat, tahap kesihatan rakyat, kesejahteraan komuniti serta sumbangannya kepada ekonomi negara.
Dalam pada itu, beliau berkata sukan negara terus mencatat pelbagai pencapaian membanggakan sepanjang tahun ini, sekali gus membuktikan potensi besar industri berkenaan untuk terus berkembang.
“Insya-Allah, momentum ini akan terus kita perkukuh dengan pelaksanaan yang lebih tersusun, kerana apabila sukan negara hebat, nama Malaysia juga akan terus harum di pentas dunia,” katanya.
Beliau berharap kerjasama strategik antara semua pihak dapat terus diperkukuh bagi memastikan pembangunan industri sukan negara dilaksanakan secara lebih terancang, berkesan dan berimpak tinggi. – UMNO Online
