Peluang Kerja Rakyat Tempatan Kekal Jadi Keutamaan
KUALA LUMPUR, 28 Okt – Kerajaan akan terus mengutamakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, di samping memastikan keperluan sebenar industri diambil kira bagi menjamin keseimbangan dalam pengurusan penggajian pekerja asing.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan komited mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing secara berperingkat, selaras dengan hala tuju Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
“Peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan mesti kekal menjadi keutamaan, dalam masa yang sama keperluan sebenar industri juga perlu terus diambil kira,” katanya.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing Kali Ke-3 di Parlimen, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, maklum balas daripada semua kementerian dan agensi yang terlibat dalam ekosistem penggajian pekerja asing turut diteliti bagi memastikan isu berkaitan mekanisme kuota dan kawalan siling penggajian dapat ditangani secara menyeluruh.
Menurut beliau, pendekatan keputusan bersama (collective decision) diperlukan bagi menangani pelbagai isu dan cabaran berkaitan pengurusan pekerja asing, dengan memastikan kepentingan tenaga kerja tempatan terus terpelihara.
“Dalam hal ini, kita semua bersetuju bahawa pendekatan collective decision diperlukan bagi menangani sebarang isu dan cabaran dalam mengurus mekanisme kuota dan kawalan siling penggajian pekerja asing supaya peluang pekerjaan rakyat tempatan kekal menjadi keutamaan kita,” katanya.
Beliau menegaskan, kerajaan akan memastikan setiap dasar yang dilaksanakan bukan sahaja memperkukuh peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia, malah terus menyokong keperluan industri negara.
Pendekatan itu penting bagi memastikan pengurusan tenaga kerja asing dilaksanakan secara terancang, mengambil kira keperluan majikan serta kepentingan rakyat tempatan dalam pasaran pekerjaan.
“Insya-Allah, kita akan terus memastikan setiap dasar yang dilaksanakan mampu memperkukuh peluang pekerjaan rakyat tempatan yang menyokong keperluan industri sekali gus memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya lagi. – UMNO Online
