Kerja Awalan Projek Lingkaran Tengah Selatan Bentong Diluluskan Dibawah RMK-13

KUALA LUMPUR, 28 Okt – Kerajaan meluluskan peruntukan RM120 juta bagi kerja-kerja awalan projek Lingkaran Tengah Selatan melibatkan pembinaan jalan baharu dari persimpangan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) / Lebuhraya Pantai Timur (LPT) KM79 ke Kampung Sungai Perdak, Bentong, Pahang di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, projek yang diluluskan di bawah Rolling Plan 1 (RP1) RMK13 itu melibatkan kerja-kerja reka bentuk dan pengambilan tanah bagi pembinaan jalan baharu berkembar empat lorong sepanjang 13 kilometer.

Menurut beliau, skop kerja awalan turut merangkumi kerja ukur dan pemetaan utiliti, siasatan tapak, pelantikan perunding, kajian trafik, penilaian impak sosial (SIA), penilaian impak alam sekitar (EIA) serta pengambilan tanah dan ukur halus.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini berhubung perancangan kerajaan menaik taraf rangkaian jalan Persekutuan dan jalan negeri di Bentong bagi menghadapi peningkatan trafik susulan pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Ahmad Maslan berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang sentiasa memantau rangkaian jalan Persekutuan serta menyemak aliran trafik di jalan negeri sekitar Bentong bagi memastikan pengurusan rangkaian jalan raya dilaksanakan secara menyeluruh dan bersepadu.

“Bagaimanapun, tiga cadangan projek yang dikemukakan Kerajaan Negeri Pahang di bawah Rolling Plan 2 (RP2) RMK13 tidak mendapat kelulusan Agensi Pusat berikutan keutamaan diberikan kepada projek lain yang lebih mendesak di negeri itu.

“Cadangan berkenaan merangkumi kerja menaik taraf Persimpangan Ketari FT08/FT68, kerja awalan projek Lingkaran Tengah Selatan dari Persimpangan Pusat Latihan Ketenteraman Awam (PULKA) ke Simpang Pelangai serta laluan Kampung Sungai Perdak ke Persimpangan PULKA,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau mengesyorkan supaya cadangan projek berkenaan dikemukakan semula oleh Kerajaan Negeri menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) atau JKR Negeri untuk dimasukkan dalam senarai keutamaan bagi Rolling Plan akan datang.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Maslan turut memaklumkan sebanyak 95 lokasi di Jalan Persekutuan di Pahang telah dilengkapi kemudahan lampu jalan menerusi Program Menaik Taraf Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya bagi tempoh 2024 hingga 2026, dengan kos keseluruhan RM8.8 juta.

Daripada jumlah itu, tambahnya sebanyak RM832,000 diperuntukkan bagi pemasangan 83 batang lampu solar baharu di sembilan lokasi terpilih di Parlimen Bentong.

“Pemasangan itu melibatkan tiga lokasi di DUN Sabai dengan kos RM294,000, tiga lokasi di DUN Bilut berjumlah RM300,000, satu lokasi di DUN Pelangai sebanyak RM61,000 dan dua lokasi di DUN Ketari dengan kos RM177,000,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa penyelenggaraan dan kerja menaik taraf jalan negeri, termasuk pemasangan lampu jalan, perabot jalan serta pembaikan jambatan sempit, berada di bawah bidang kuasa dan tanggungjawab kerajaan negeri.

“KKR akan terus meneliti keperluan pembangunan serta penambahbaikan infrastruktur jalan berdasarkan penilaian teknikal, keperluan trafik, keutamaan pembangunan dan kedudukan kewangan semasa kerajaan,” katanya.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO