Waspada Akaun Palsu Menjelang PRN Melaka – Nooryana Najwa
MELAKA, 28 Okt – Ketua Penerangan Puteri UMNO Malaysia, Nooryana Najwa Najib, mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap kewujudan akaun palsu dan penyebaran berita tidak sahih di media sosial menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau berkata, perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan penggunaan akaun tidak autentik boleh mempengaruhi persepsi masyarakat, sekali gus menimbulkan tanggapan bahawa sesuatu pandangan mendapat sokongan meluas sedangkan kesahihannya belum tentu dapat dipastikan.
“Ramai yang komen, belum tentu ramai orang sebenar. Jangan mudah menganggap sesuatu pandangan mewakili suara majoriti hanya kerana jumlah komen dan perkongsian yang tinggi,” katanya.

Ujarnya, perkara itu wajar diberikan perhatian menjelang PRN Melaka apabila media sosial menjadi antara platform utama masyarakat mendapatkan maklumat, mengikuti perkembangan politik dan membincangkan isu semasa.
“Laporan oleh syarikat penyelidikan AI, Anthropic, mengenai operasi yang menggunakan akaun palsu dan teknologi AI untuk mempengaruhi persepsi awam turut menimbulkan persoalan mengenai kesahihan interaksi serta kandungan yang tersebar di platform digital.”
Sehubungan itu katanya, pengundi dinasihatkan supaya lebih teliti menilai kandungan yang diterima, khususnya hantaran berunsur politik yang tidak menyatakan sumber jelas, menggunakan identiti meragukan atau menyebarkan dakwaan tanpa bukti kukuh.
“Pengguna media sosial juga perlu berhati-hati terhadap gambar, video dan rakaman suara yang berkemungkinan dimanipulasi menggunakan AI, selain mengelakkan tindakan berkongsi maklumat yang belum disahkan,” katanya.
Nooryana berkata, masyarakat perlu mengamalkan sikap bertanggungjawab dengan menyemak sumber asal, membandingkan laporan daripada media yang dipercayai dan menilai sesuatu isu berdasarkan fakta, bukannya semata-mata jumlah komen atau reaksi di media sosial.
“Your voice matters. Your vote matters. Fikir sendiri, semak fakta dan buat keputusan sendiri. Kesedaran ini penting supaya pengundi tidak mudah dipengaruhi maklumat yang mengelirukan ketika membuat penilaian menjelang PRN Melaka,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa ruang digital seharusnya dimanfaatkan untuk perbincangan yang sihat dan perkongsian maklumat yang bertanggungjawab, bukannya menjadi medan penyebaran berita palsu yang boleh mengelirukan masyarakat. – UMNO Online
