‘Rakyat Luar Bandar Tidak Wajar Terbeban Isu Peruntukan’ – Dr Azhar
KUALA LUMPUR, 28 Okt – Rakyat luar bandar, khususnya masyarakat di pedalaman tidak seharusnya menjadi pihak yang menanggung kesan daripada sebarang isu berkaitan peruntukan pembangunan, kata Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad.
Beliau berkata, peruntukan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) amat penting bagi memastikan keperluan asas penduduk luar bandar terus diberi perhatian, termasuk kemudahan jalan raya dan bantuan membaik pulih rumah.
“Semua ini adalah kepentingan-kepentingan rakyat luar bandar… yang rugi ialah rakyat di luar bandar yang memerlukan jalan, yang memerlukan bantuan-bantuan rumah, baiki rumah dan sebagainya.
“… apatah lagi masyarakat kita di Sabah dan Sarawak di pedalaman, tentulah sangat memerlukan program-program pembangunan di bawah KKDW,” katanya ketika dihubungi UMNO Online
Dr Azhar berkata, pihak yang mengkritik Ahmad Zahid dan KKDW sepatutnya mendapatkan fakta serta memahami situasi sebenar di peringkat pelaksanaan sebelum membuat sebarang tuduhan, bukannya membiarkan persepsi politik mempengaruhi penilaian terhadap isu berkenaan.
Katanya ini kerana terdapat pihak yang lebih mengutamakan sentimen kebencian berbanding usaha mencari kebenaran, termasuk dengan mengaitkan pengurusan kementerian dengan dakwaan salah laku.
“Kalau kita lihat sebelum ini mereka yang tidak menyukai pemimpin UMNO, apabila mereka mendapat tahu yang kemungkinan salah fakta tanpa mencari fakta yang sebenar di peringkat ground mereka terus menuduh KKDW dan menuduh Ahmad Zahid.
“Sedangkan beliau adalah Timbalan Perdana Menteri kepada Kerajaan Perpaduan ini. Jadi adakah mereka fikir tentang maruah? Yang penting bukan kebenaran yang mereka cari, tetapi ialah sebuah kebencian, bagaimana nak menunjukkan kepada rakyat ramai bahawanya kementerian yang diterajui oleh
Ahmad Zahid bin Hamidi ini tak betul, rasuah dan sebagainya.
“Jadi akhirnya terjawab pada semalam… semua melihat, mendengar dengan penuh teliti ucapan penggulungan Timbalan Perdana Menteri dengan fakta, jawab berterus terang,” ujar beliau.
Terdahulu, Ahmad Zahid pada penggulungan semalam memaklumkan sebahagian projek pembangunan luar bandar di Sabah dan Sarawak yang diluluskan bagi 2026 dibatalkan berikutan ketiadaan penyaluran dana walaupun peruntukan telah tersedia.
Beliau mendedahkan, pembatalan itu menyebabkan penduduk luar bandar di kedua-dua negeri berkenaan menjadi mangsa apabila projek pembangunan yang dinantikan tidak dapat dilaksanakan.
Katanya, keadaan sama turut menjejaskan masyarakat kampung di Semenanjung kerana projek yang telah diumumkan sepatutnya dilaksanakan mengikut perancangan. – UMNO Online
