RTB Sungai Air Salak Masuk Fasa Pra-Pelaksanaan – Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 28 Okt – Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Air Salak, Melaka Tengah mendapat kelulusan di bawah Rolling Plan Kedua (RP2), Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) dan kini berada pada peringkat pra-pelaksanaan.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, (PETRA) Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, peringkat pra-pelaksanaan itu melibatkan kerja-kerja awalan termasuk pelantikan perunding, jurukur serta pengambilan tanah.

Menurut beliau, pelantikan perunding bagi projek berkenaan dijangka dilaksanakan pada pertengahan 2027.

Sementara menunggu pelaksanaan projek berkenaan, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut mengambil langkah mitigasi jangka pendek bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan terlibat.

“Skop kerja merangkumi pengaluran sungai, penstabilan tebing serta menaik taraf saluran dan struktur berkaitan bagi memastikan sistem saliran berfungsi dengan lebih berkesan,” katanya ketika menjawab pertanyaan di Dewan Rakyat.

Terdahulu Ahli Parlimen Tangga Batu Bakri Jamaluddin meminta Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air menyatakan status terkini permohonan dana dan perancangan pelaksanaan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Ayer Salak bernilai sekitar RM130 – RM154 juta bagi mengatasi isu banjir kronik berulang yang membelenggu penduduk di Kampung Paya Luboh, Bukit Berlian dan Seberang Gajah.

Abdul Rahman seterusnya berkata bagi tahun 2026, sebanyak RM10 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan projek pemulihan sungai di seluruh negeri Melaka.

“Daripada jumlah itu, Parlimen Tangga Batu menerima peruntukan sebanyak RM1.25 juta bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan berkaitan mengikut skop yang diluluskan dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2026,” ujarnya.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO