UMNO Sabah Sedia Berkampung Di Melaka, Bantu BN Raih Kemenangan
KOTA MELAKA, 14 Okt – UMNO Sabah komited untuk turun padang dan berkampung di Melaka bagi membantu memperkukuh gerak kerja jentera parti, khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Emas dan DUN Duyong, sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Komitmen itu dizahirkan menerusi lawatan delegasi UMNO Sabah yang diketuai Setiausaha Perhubungan UMNO Sabah, Samasuddin Yusop, ke Bahagian UMNO Kota Melaka baru-baru ini bagi menyelaras persiapan serta meninjau keperluan gerak kerja jentera di lapangan.
Ujarnya, pendekatan turun padang dan berkampung bersama penting bagi memastikan setiap gerak kerja dapat dilaksanakan secara tersusun, berfokus dan dekat dengan denyut nadi rakyat.

“Kerjasama antara kedua-dua negeri juga membuka ruang kepada perkongsian pengalaman, strategi serta pendekatan berkesan dalam menghadapi cabaran pilihan raya sebagaimana amalan dalam keluarga besar UMNO.
“Pilihan raya bukan sekadar tentang kekuatan jentera, tetapi juga tentang kesatuan hati, kesungguhan bekerja dan keupayaan kita mendekati rakyat. Apabila kita turun bersama, bergerak sebagai satu pasukan dan memahami denyut nadi masyarakat, di situlah kekuatan sebenar perjuangan parti dibina,” katanya mengulas berkaitan hal terbabit.
Katanya, semangat kebersamaan ini menjadi asas kepada komitmen UMNO Sabah untuk membantu memperkemas gerak kerja di DUN Telok Emas dan DUN Duyong, dengan memberi tumpuan kepada penyelarasan jentera, pendekatan bersemuka serta usaha memperkukuh hubungan parti dengan masyarakat setempat.
“Dalam menghadapi PRN, kekuatan sesebuah parti tidak hanya bergantung pada jumlah petugas, tetapi turut ditentukan oleh disiplin, kesepakatan dan kesediaan setiap anggota untuk bekerja secara konsisten demi kepentingan rakyat.
“Kami turut membawa mesej bahawa perjuangan parti memerlukan semangat setiakawan yang melangkaui sempadan negeri. Sokongan sesama jentera menjadi pemangkin untuk memastikan persiapan pilihan raya dapat digerakkan dengan lebih mantap, tersusun dan berkesan.
“Kita datang bukan sekadar untuk menunjukkan sokongan, tetapi untuk bersama-sama bekerja. Ukuran sebenar kesetiaan kepada perjuangan ialah kesediaan untuk turun padang, menyumbang tenaga dan membantu rakan seperjuangan ketika diperlukan.”
Ujarnya, komitmen berkenaan selari dengan semangat muafakat yang menjadi tunjang kekuatan UMNO, iaitu menggembleng tenaga, menyatukan pengalaman dan memperkukuh organisasi demi memastikan suara serta aspirasi rakyat terus diberi perhatian.
Turut menyertai delegasi berkenaan ialah Bendahari UMNO Sabah, Datuk Salleh Said Keruak, bersama rombongan yang hadir sebagai tanda kesepaduan dan solidariti antara jentera UMNO Sabah dan UMNO Melaka.

Ketibaan delegasi UMNO Sabah disambut oleh Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Emas merangkap Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, serta Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem yang juga penyandang DUN Duyong.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 14 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka Ke-16 dengan 31 Oktober sebagai hari penamaan calon, manakala tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari.
Sementara itu, 10 November ditetapkan sebagai hari pengundian awal bagi PRN Melaka Ke-16.
PRN Melaka yang diadakan pada 2021 menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang 21 daripada 28 kerusi dipertandingkan seterusnya membentuk kerajaan negeri, manakala Pakatan Harapan (PH) menang lima kerusi diikuti Perikatan Nasional (PN) dengan dua kerusi. – UMNO Online
