Kabin Coop Mart Perlu Dimanfaat, Jana Ekonomi Ummah – Abdul Fattah
KUALA LUMPUR, 14 Okt – Pembangunan koperasi kariah masjid berpotensi membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat menerusi aktiviti perniagaan yang berdaya maju, selain memperkukuh peranan masjid sebagai pusat penyatuan komuniti dan pembangunan sosioekonomi.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, kemudahan Kabin Coop Mart perlu dimanfaatkan secara strategik dengan memberi penekanan kepada pengurusan perniagaan yang profesional, sistematik dan berdaya saing.
Menurut beliau, koperasi perlu memahami permintaan pelanggan, mengurus stok serta kewangan dengan teratur dan meneroka peluang pemasaran produk tempatan bagi memastikan perniagaan mampu berkembang secara mampan.
“ANGKASA akan terus menyediakan sokongan, latihan dan bimbingan bagi meningkatkan keupayaan pengurusan serta daya saing koperasi. kepentingan tadbir urus yang telus, integriti dan pematuhan prinsip syariah dalam memastikan perniagaan koperasi berkembang secara mampan.
“Kemudahan Kabin Coop Mart perlu dimanfaatkan secara strategik melalui pengurusan perniagaan yang profesional, termasuk mengenal pasti permintaan pelanggan, mengurus stok dan kewangan dengan teratur serta meneroka peluang pemasaran produk tempatan.
“Sokongan anggota kariah, penglibatan usahawan tempatan serta kerjasama dengan pihak berkaitan juga penting bagi memperluas peluang ekonomi dan memastikan manfaat perniagaan dapat dikembalikan kepada komuniti,” katanya.
Beliau berharap pembukaan Kabin Coop Mart itu menjadi titik permulaan kepada perkembangan perniagaan yang berterusan, sekali gus memperkukuh kedudukan Koperasi Kariah Masjid Ismail Petra Tanah Merah Berhad sebagai institusi ekonomi komuniti yang mampu menjana pendapatan, membuka peluang keusahawanan dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat setempat.
Seterusnya kata Timbalan Pengerusi Tetap UMNO, pengoperasian kabin Coop Mart perlu turut memberi perhatian kepada pelaksanaan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR),
“Kedua-dua program SARA dan STR perlu dimanfaatkan dalam memastikan kemudahan perniagaan koperasi dapat menyokong usaha membantu golongan yang memerlukan. Peluang berkenaan perlu diteliti dan dimanfaatkan mengikut syarat serta mekanisme pelaksanaan yang ditetapkan.
“Inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen memperkasa gerakan koperasi di peringkat akar umbi, selaras dengan pengumuman peruntukan RM500,000 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Kongres Koperasi Kebangsaan bagi memperkasa koperasi kariah masjid di seluruh negara,” katanya lagi.
Justeru, kata beliau kabin Coop Mart ini perlu dimanfaatkan sebaiknya sebagai platform memperluaskan perniagaan koperasi, menyokong agenda komuniti secara lebih tersusun dan mampan. – UMNO Online
