Perlunya Kerjasama Strategik Tangani Kemudahan Asas Luar Bandar

KUALA LUMPUR, 14 Okt – Usaha menyelesaikan kemudahan asas luar bandar tidak seharusnya dipikul oleh Kerajaan semata-mata, kata Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Mohd Kurniawan Naim Moktar.

Selari dengan itu beliau meminta agar agensi Kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan atau GLC serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan turut memainkan peranan yang lebih proaktif melalui kerjasama pembangunan komuniti, program tanggungjawab sosial korporat dan penyelesaian teknologi yang bersesuaian.

“Projek tenaga solar komuniti boleh diteroka bagi penempatan yang sukar dihubungkan dengan grid elektrik. Sistem rawatan air berskala kecil pula boleh dipertimbangkan sebagai penyelesaian sementara, manakala penyedia telekomunikasi perlu bekerjasama memperluas liputan ke kawasan yang belum mendapat perkhidmatan memuaskan.

“Satu mekanisme penyelarasan antara kementerian, agensi teknikal, Kerajaan Negeri Sabah dan GLC bagi mengenal pasti kampung yang masih tercicir serta menyelesaikan isu pelaksanaan secara bersepadu,” katanya ketika membahas Rang Undang-undang (RUU) Perbahasan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, semalam.

Naim yang juga Bendahari Pemuda UMNO Malaysia meminta Kerajaan menjelaskan status terkini rundingan formula 40 peratus, kaedah pengesahan hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari Sabah, serta garis masa yang disasarkan untuk mencapai penyelesaian bersama Kerajaan Negeri.

“Komitmen Kerajaan terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 atau MA63, termasuk peningkatan Pemberian Khas interim kepada Sabah. Satu perkara asas yang perlu diberikan perhatian serius, iaitu pelaksanaan hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari Sabah.

“Asas perlembagaan yang jelas melalui Perkara 112C, dibaca bersama Perkara 112D dan Seksyen 2(1), Bahagian IV, Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan. Formula asalnya merujuk kepada dua perlima atau 40 peratus daripada pertambahan hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari Sabah berbanding tahun asas 1963, tertakluk kepada peruntukan kajian semula yang berkaitan.

“Rakyat Sabah bukan meminta ihsan. Kita menuntut pelaksanaan hak yang mempunyai asas dalam Perlembagaan Persekutuan. Perkara ini bukan sekadar soal tambahan peruntukan, tetapi melibatkan tanggungjawab perlembagaan dan hubungan fiskal antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Sabah,” katanya lagi.

Tambah beliau, keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober 2025 turut memberikan perhatian kepada kegagalan pelaksanaan kajian semula Pemberian Khas bagi tempoh terdahulu.

Walaupun pelaksanaan perintah tersebut telah ditangguhkan sementara menunggu proses rayuan, persoalan mengenai kaedah pengiraan dan penyelesaian jangka panjang masih memerlukan perhatian kedua-dua Kerajaan, ujarnya.

Dalam masa sama beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kinabatangan harap peningkatan gaji minimum kepada RM2,000 serta kerangka gaji lantai RM2,500 bagi kategori pekerjaan yang diumumkan Kerajaan perlu dilihat bersama kemampuan ekonomi luar bandar.

“Di Sabah, sebahagian peluang pekerjaan bergantung kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana, sektor pertanian, perladangan serta perniagaan keluarga.

“Pelaksanaannya perlu disertai bantuan peningkatan produktiviti, latihan kemahiran dan sokongan kepada majikan kecil supaya kenaikan kos operasi tidak menyebabkan pengurangan pekerjaan,” jelasnya.

Seterusnya kata beliau, dalam jangka panjang tidak boleh bergantung kepada kenaikan gaji semata-mata.

“Kita mesti membangunkan lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi di Sabah melalui ekonomi digital, pertanian moden, pelancongan komuniti, keusahawanan dan industri berasaskan sumber tempatan,” tegasnya.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO