Pelaburan Johor Mesti Memanfaatkan Rakyat – Onn Hafiz
KUALA LUMPUR, 14 Okt – Kemasukan pelaburan ke Johor mesti diterjemahkan kepada lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi untuk anak tempatan, peluang perniagaan lebih luas kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta peningkatan taraf hidup rakyat, bukan sekadar pertumbuhan ekonomi dan angka pelaburan yang memberangsangkan.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata manfaat pembangunan negeri perlu dirasai secara langsung oleh rakyat, terutama golongan muda yang perlu diberi peluang membina kerjaya dan meningkatkan taraf hidup di negeri sendiri.
“Keutamaan kita adalah membuka lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada anak tempatan, membantu perusahaan kecil dan sederhana berkembang serta memastikan pembangunan negeri terus seimbang dan lestari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berkongsi pandangan dalam forum Towards a Futuristic Nation: Leadership, Innovation and Transformation sempena International Young Future Leaders Summit (iFUTURE) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), yang menghimpunkan lebih 1,200 pemimpin mahasiswa dari Malaysia dan 53 negara lain, semalam.
Onn Hafiz berkata, Johor mencatat pertumbuhan ekonomi lapan peratus tahun lalu, tertinggi di Malaysia, selain merekodkan pencapaian pelaburan yang memberangsangkan menerusi aspirasi Maju Johor 2030.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pencapaian itu bukan alasan untuk kerajaan negeri berpuas hati, sebaliknya perlu menjadi pemangkin untuk memastikan pertumbuhan ekonomi membawa lebih banyak peluang dan manfaat kepada masyarakat.
“Kalau mahukan hasil luar biasa, cara berfikir dan gerak kerja kita juga mesti luar biasa,” katanya.
Menurutnya, pelaburan yang masuk, khususnya menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), perlu dimanfaatkan untuk memperkukuh ekonomi tempatan, memperluas peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan membantu PKS mengambil bahagian dalam rantaian pertumbuhan baharu.
Dalam aspek kepimpinan, beliau berkata setiap dasar dan keputusan kerajaan perlu berteraskan integriti, keadilan serta keikhlasan, dengan kepentingan rakyat menjadi ukuran utama keberkesanan pentadbiran.

Beliau turut menegaskan pembangunan anak muda perlu terus diberi keutamaan supaya mereka bukan sekadar menjadi pemerhati kepada kemajuan negeri, tetapi mempunyai ilmu, kemahiran dan peluang untuk merebut manfaat daripada pembangunan tersebut.
“Saya mahu anak muda kita bukan hanya menjadi pemerhati kepada perubahan, tetapi merebut peluang daripada kepesatan pembangunan negeri, melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran serta berani menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin masa depan,” katanya.
Onn Hafiz berkata, kejayaan Maju Johor 2030 akhirnya perlu dilihat melalui keupayaan negeri menyediakan peluang lebih baik kepada rakyat, meningkatkan kesejahteraan hidup dan melahirkan generasi muda yang mampu meneruskan pembangunan Johor pada masa hadapan. – UMNO Online
