Melaka Komited Perkukuh Kerjasama Dengan Kerajaan Persekutuan Demi Rakyat
PUTRAJAYA, 14 Okt – Kerajaan Negeri Melaka komited untuk terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam menjayakan agenda pembangunan negara, selain memastikan setiap perancangan dan pelaksanaan dasar memberi manfaat kepada rakyat.
Ketua Menterinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan penting bagi memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan secara bersepadu, sekali gus meningkatkan kualiti hidup serta kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di laman Facebooknya selepas menghadiri Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri Ke-150 yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Perdana, Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, petang semalam.
Mesyuarat itu dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Menteri-Menteri Besar, Ketua-Ketua Menteri serta Menteri-Menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Menurut Ab Rauf, Kerajaan Negeri Melaka akan terus bergerak seiring dengan agenda pembangunan negara dengan memberi perhatian bukan sahaja kepada pembangunan fizikal dan pertumbuhan ekonomi, malah peningkatan peluang ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
“Insya-Allah, Melaka akan terus bergerak seiring dengan agenda pembangunan negara, dengan memastikan kemajuan yang dicapai bukan sekadar diukur melalui pembangunan fizikal dan pertumbuhan ekonomi, tetapi turut dirasai melalui peningkatan kualiti hidup, peluang ekonomi dan kesejahteraan seluruh rakyat Melaka,” katanya.
Komitmen itu mencerminkan usaha berterusan kerajaan negeri untuk memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati rakyat secara menyeluruh, selaras dengan matlamat memperkukuh kemajuan negeri dan negara. – UMNO Online
