Transformasi Zoo Johor: Lebih Mesra Keluarga, Sasar Jadi Tarikan Utama – Mohd Jafni

JOHOR BAHRU, 19 Mei – Pembangunan Semula Zoo Johor kini memasuki Fasa Kedua dengan pelbagai pembaharuan menarik, termasuk laluan mesra Orang Kurang Upaya (OKU) dan stroller, serta inisiatif baharu Zoo Waktu Malam (Zoo Malam) yang dijangka meningkatkan lagi pengalaman pengunjung.

Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, lawatan beliau ke tapak projek semalam bertujuan meninjau sendiri perkembangan kerja-kerja naik taraf yang telahpun bermula sejak awal Mei 2025.

“Fasa kedua ini memberi tumpuan kepada penambahbaikan kandang haiwan, pembinaan laluan mesra OKU dan stroller serta pembangunan Zoo Malam bagi menjadikan lawatan ke Zoo Johor lebih interaktif dan menyeronokkan.

“Dengan kos keseluruhan sebanyak RM7 juta, pembangunan ini bakal melengkapkan usaha besar-besaran Kerajaan Negeri Johor dalam menjenamakan semula Zoo Johor sebagai zoo bandar yang moden, mesra keluarga dan kompetitif.

“Sejak dibuka semula pada 31 Ogos 2024, Zoo Johor telah menunjukkan prestasi luar biasa. Jika sebelum ini purata pengunjung hanya sekitar 400,000 setahun, kini anggaran pengunjung mencecah 1 juta orang dalam tempoh setahun selepas pembukaan semula,” katanya.

Ujarnya, projek yang melibatkan kos keseluruhan RM7 juta ini merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri Johor untuk menjenamakan semula Zoo Johor sebagai zoo bandar moden yang mesra keluarga menjelang Tahun Melawat Johor 2026.

“Sebagai zoo tertua di Malaysia yang terletak di tengah-tengah bandar raya Johor Bahru, pembaharuan ini bukan sekadar menaik taraf fizikal tetapi memartabatkan sejarah dan warisan bandar Johor Bahru itu sendiri.

“Zoo Johor kini menjadi pilihan utama bukan sahaja kepada rakyat tempatan, tetapi juga pelancong luar termasuk dari Singapura dan pelancong antarabangsa. Kemudahan sistem e-ticketing, laluan bas ‘shuttle’, dan reka bentuk zon baharu yang lebih menarik turut menyumbang kepada tarikan tersebut.

“Fokus kita jelas iaitu mengangkat Zoo Johor menjadi ikon pelancongan keluarga, pusat pendidikan alam dan pemuliharaan haiwan di tengah nadi bandaraya Johor Bahru yang semakin membangun,” tambah Mohd Jafni.

Ujarnya, fasa kedua pembangunan ini dijangka siap sepenuhnya pada 15 Disember 2025, selaras dengan misi menjadikan Johor sebagai destinasi pelancongan utama serantau di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Sama-sama kita doakan agar segala perancangan ini dipermudahkan dan berjalan lancar demi Johor yang lebih maju, lestari dan sejahtera untuk semua.
“Zoo Johor, kebanggaan rakyat Johor. Ayuh ke Zoo Johor! Teruskan sokongan anda untuk Zoo Johor,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79