Wanita UMNO Nadi Perjuangan, Tekad Pastikan Kemenangan Parti – Rahmah
SEPANGGAR, 18 Mei – Wanita UMNO yang terkenal sebagai nadi parti dan tulang belakang perjuangan akan mengerakkan sepenuhnya jenteranya dengan strategi tersusun serta kekuatan akar umbi yang padu dan iltizam tanpa kompromi.
Menurut Ketua Wanita UMNO Bahagian Sepanggar Rahmah Rashid, dengan tekad yang bulat, seluruh jenteranya berikrar sebagai penggerak utama dalam misi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17 ini dengan semangat yang kental dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi.
“Wanita UMNO Bahagian Sepanggar kini berada di barisan hadapan kebangkitan politik akar umbi, memacu gelombang baru dengan jentera yang berfokus, bersistem dan bersasar demi memastikan kemenangan BN dalam PRN Ke-17.
“Gerakan Wanita meliputi pendekatan menyeluruh dari rumah ke rumah, ziarah prihatin, ziarah kasih menyantuni masyarakat setempat, mendengar keluhan denyut nadi akar umbi dan menjulang suara mereka ke platform yang sewajarnya,” katanya kepada UMNO Online, di sini hari ini.
Pada Sabtu, Pengerusi BN merangkap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah melancarkan Gerak17 Sepanggar, bagi menghadapi PRN Ke-17 yang bakal tiba bila-bila masa sahaja.
Jelas Rahmah lagi, gerakan Wanita UMNO bukan sekadar memainkan peranan dalam memenangkan parti pada setiap pilihan raya, malah merupakan nadi penggerak utama dalam memperkukuh struktur sosial dan politik negara.
“Dengan kekuatan akar umbi yang tersusun dan berstrategi, Wanita telah lama menjadi benteng pertahanan UMNO di peringkat komuniti.
“Lebih daripada itu, Wanita UMNO berperanan aktif dalam memperjuangkan isu-isu berkaitan hak wanita, pendidikan, kesihatan, ekonomi keluarga serta kebajikan rakyat.
“Melalui pelbagai program dan inisiatif berimpak tinggi, Wanita mendekati masyarakat secara langsung, menjadi jambatan antara rakyat dan kerajaan,” katanya.
Selain itu tambah Rahmah, di samping mempersiapkan barisan pelapis kepimpinan, gerakan jentera berupaya menjadi suara yang berani dan tegas dalam menyuarakan aspirasi rakyat, terutama golongan terpinggir.
“Peranan Wanita UMNO dalam pembangunan masyarakat kini bukan lagi bersifat sampingan, sebaliknya menjadi teras dalam menjayakan agenda nasional yang inklusif dan sejahtera.
“Pasca partisipasi akar umbi menjadi agenda utama kami untuk membina semula keyakinan akar umbi melalui tindakan nyata, bukan janji retorik,” ujarnya.
Justeru katanya, ini adalah detik kebangkitan sebenar jentera Wanita yang membawa panji perjuangan BN dengan penuh maruah, semangat dan keberanian ditambah pula Wanita UMNO Bahagian Sepanggar tidak akan berganjak walau selangkah demi kemenangan BN. – UMNO ONLINE