Titah Pemangku Sultan Johor Cermin Kasih Sayang Keluarga Diraja Terhadap Rakyat – Md Israk

KUALA LUMPUR, 18 Mei – Ketua Penerangan UMNO Negeri Johor, Md Israk Abdullah berpandangan bahawa titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail ibni Sultan Ibrahim mencerminkan kasih sayang keluarga Diraja terhadap rakyat.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau merafak sembah dan menjunjung kasih kepada Tunku Mahkota Ismail di atas perkenan merasmikan Pembukaan Penggal Keempat, Dewan Negeri Johor Ke-15.

 

“UMNO Johor merafak sembah dan menjunjung kasih kepada Duli Yang Amat Mulia, Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor di atas perkenan merasmikan Pembukaan Penggal Keempat, Dewan Negeri Johor Ke-15 pada 16 Mei 2025.

“Titah Baginda mencerminkan kasih sayang Keluarga Diraja terhadap rakyat dan memberi pedoman penting kepada seluruh kepimpinan agar menjadikan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai medan memperjuangkan kepentingan rakyat, bukan dijadikan medan pertelagahan politik,” katanya.

Ujarnya, UMNO Johor menyambut baik penegasan Tunku Mahkota Ismail berhubung empat perkara keutamaan Johor.

“UMNO Johor menyambut baik penegasan DYAM Tunku Mahkota berhubung empat keutamaan utama Johor. Pertama, pelaburan strategik seperti Johor-Singapura Zon Ekonomi Khas atau JS-SEZ (RM27 bilion setakat S1 2025), pendidikan inklusif dan pembangunan sosial. Selain itu, perumahan mampu milik dan infrastruktur rakyat serta kualiti kesihatan menyeluruh.

“UMNO Johor juga merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi atas komitmen untuk menjayakan titah Baginda dengan penuh integriti dan semangat Bangsa Johor.

“UMNO Johor beriltizam untuk terus menjunjung titah, menyokong dasar Kerajaan Negeri dan mengutamakan kepentingan rakyat serta kestabilan negeri,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79