UMNO/BN Tidak Pernah Tutup Pintu Rundingan Hadapi PRN Sabah

SEPANGGAR, 17 Mei – UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak pernah menutup pintu rundingan dan masih terbuka menjalin kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 ini.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata demikian ketika merujuk kepada kenyataannya sebelum ini mengenai kerjasama BN dan Pakatan Harapan (PH) dan lain-lain parti di negeri itu iaitu ‘BN PH Plus Plus’ untuk membina kesepakatan yang kukuh.

“Oleh yang demikian UMNO dan Barisan Nasional amat terbuka untuk menjalin sebarang kerjasama dan keterbukaan ini sehinggalah hari penamaan calon. Apatah lagi kini Dewan Undangan Negeri belum dibubarkan.

“Maka pintu rundingan itu masih terbuka dan insya-Allah di bawah permesyuaratan dengan PH, BN akan mencari rakan-rakan yang terbaik bagi pembentukan kerajaan di negeri Sabah ini, insya-Allah,” kata Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri dalam sidang media selepas melancarkan Gerak17 Parlimen Sepanggar di sini, petang tadi.

Hadir sama Pengerusi UMNO Negeri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, beberapa Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO termasuk Ketua UMNO Bahagian Sepanggar Datuk Yakub Khan.

Ahmad Zahid turut berkata UMNO Negeri Sabah juga diberi kuasa autonomi untuk berbincang dan membuat keputusan mengenai kerjasama itu.

“Kita memberikan kuasa autonomi kepada UMNO Sabah dan kita yakin dengan kepimpinan UMNO Sabah. Namun tidak ada sesuatu yang tidak boleh dirundingi atau dirundingkan.

“Saya yakin Bung Moktar akan melihat dalam situasi yang lebih holistik untuk kita membentuk kerajaan bersama rakan-rakan yang lain di Sabah. Kita sangat menghormati autonomi yang ada pada UMNO Sabah,” katanya yang yakin Bung juga akan berbincang bersama kepimpinan pusat mengenainya.

Seterusnya, Ahmad Zahid berpesan kepada beberapa pihak yang sering membangkitkan perasaan ‘regionalistic’ di negeri Sabah.

“Kerana rasa keterbukaan ini kita tidak mahu ada perasaan ‘regionalistic’. Kenapa kita perlu membangkitkan perkara itu sedangkan kita memerlukan antara satu sama lain.

“Saya fikir kita sebagai sebuah negara yang dibentuk atas semangat Persekutuan Malaysia, perkara itu harus jadi tajuk utama dan kita mesti menggariskan kemajuan antara negeri saling memerlukan dukungan antara satu sama lain.

“Jangan berfikiran terlalu sempit dan jumud bagaimana seorang pemimpin di Sabah,” tegas Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu lagi. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79