Perak Terima Pelaburan RM250 Juta Dari Belgium – Saarani

KUALA LUMPUR, 17 Mei – Kerajaan Negeri Perak telah menerima pelaburan baharu sebanyak RM250 juta dari sebuah syarikat tersohor di Belgium iaitu Lhoist Group.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan pelaburan tersebut adalah untuk membezakan lagi fasiliti pengeluaran Lhoist Group di Tapah.

“Misi Pelaburan Kerajaan Negeri Perak ke Belgium hari ini membuahkan hasil bermakna dengan pertemuan bersama pengurusan tertinggi Lhoist Group, sebuah syarikat tersohor dari Belgium dalam industri pembuatan ‘quicklime’ dan ‘hydrated lime’.

“Delegasi Negeri Perak disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Marcos Franco, Naib Presiden Hal Ehwal Awam, Jean Marbehant, Pengurus Besar Lhoist Asia, Mariusz Janas dan Ketua Pengarah Komunikasi Syarikat, Jeremy Boss’u.

“Dalam sesi rundingan strategik ini, pihak Lhoist telah menyatakan komitmen mereka untuk membuat pelaburan sebanyak RM250 juta bagi membesarkan lagi fasiliti pengeluaran mereka di Tapah, Perak sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan operasi mereka di rantau Asia Tenggara,” katanya.

Ujarnya, pelaburan tersebut mencerminkan keyakinan tinggi syarikat asing terhadap Negeri Perak dan juga mewujudkan peluang pekerjaan baharu untuk rakyat tempatan.

“Pelaburan ini bukan sahaja mencerminkan tahap keyakinan yang tinggi syarikat asing terhadap Negeri Perak, malah ia juga dapat mewujudkan pekerjaan dan peluang-peluang baharu untuk rakyat tempatan, khususnya anak muda Perak.

“Lebih penting lagi, perkembangan ini mengukuhkan kedudukan Negeri Perak sebagai destinasi pelaburan strategik yang stabil, berdaya saing dan progresif seiring dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 untuk memperkasa ekonomi negeri melalui pelaburan bernilai tinggi dan pemindahan teknologi.

“Syukur Alhamdulillah. Semoga pelaburan ini mampu menjadi pemangkin kepada lebih banyak lagi kerjasama antarabangsa sekaligus membawa kemakmuran mampan kepada seluruh rakyat Negeri Perak. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79