ADUN Jeram Padang Raikan Hari Guru Dengan Edaran Kek Ke Sekolah-sekolah
JEMPOL, 16 Mei – Sempena sambutan Hari Guru tahun ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir telah menyampaikan tanda penghargaan kepada para pendidik di seluruh kawasan DUN berkenaan dengan mengedarkan kek ke sekolah-sekolah sebagai simbol penghormatan dan ingatan.
Menurut Mohd Zaidy, inisiatif ini adalah hasil kerjasama erat bersama Ketua-Ketua UMNO Cawangan dalam kawasan Jeram Padang yang bertindak mewakili beliau untuk menyampaikan kek kepada para guru di setiap sekolah.
“Tugas ini bukan hanya satu simbolik, tetapi lambang komitmen kita semua dalam menghargai jasa dan pengorbanan para pendidik yang telah mendidik dan membentuk generasi pelapis masa depan negara,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau turut menegaskan bahawa penghargaan terhadap institusi pendidikan perlu diterjemahkan melalui tindakan yang memperlihatkan sokongan berterusan kepada para pendidik yang menjadi tunjang pembangunan masyarakat berilmu dan berintegriti.
“Semoga dengan kerjasama yang erat ini, kita dapat terus memupuk semangat perpaduan dan kekeluargaan dalam memperjuangkan nasib rakyat di DUN Jeram Padang serta memperkasa pendidikan anak-anak kita untuk masa depan yang lebih gemilang,” tambah beliau.
Mohd Zaidy juga merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan edaran kek ini dan berharap usaha kecil ini akan menjadi dorongan besar kepada para guru dalam meneruskan perjuangan mendidik anak bangsa.
Hari Guru disambut setiap tahun pada 16 Mei di Malaysia bagi menghargai dedikasi dan komitmen warga pendidik terhadap profesion perguruan dan tahun ini bertemakan ‘Guru Pemacu Reformasi Pendidikan’. – UMNO Online