Slogan Eksklusif Gugat Perpaduan, Perjuangan Sabah Perlu Berlandaskan Kerjasama – Awang Aslee
BEAUFORT, 16 Mei – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Beaufort merangkap Ketua UMNO Bahagian terbabit, Datuk Awang Aslee Lakat, menyuarakan sokongan penuh terhadap kenyataan Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO berhubung isu slogan “Sabah for Sabahan”, yang menurutnya bercanggah dengan semangat Persekutuan Malaysia.
Ujar beliau, walaupun Sabah mempunyai hak dan keistimewaan tertentu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), ia tidak boleh dijadikan alasan untuk menolak kerangka nasional yang telah dipersetujui bersama dalam pembentukan Malaysia.
“Malaysia dibentuk atas kesepakatan antara negeri-negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak untuk menyatukan semua lapisan rakyat bumiputera. Meskipun Sabah mempunyai keistimewaan tertentu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), hak tersebut tidak harus dijadikan alasan untuk mengasingkan diri daripada kerangka nasional.
“Slogan ini cenderung memupuk sentimen eksklusif yang boleh menggugat perpaduan nasional dan mewujudkan jurang antara negeri dan Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam hantaran melalui laman Facebooknya.
Tambah beliau, pendekatan yang membezakan rakyat mengikut asal-usul juga bertentangan dengan prinsip keadilan dan kesaksamaan yang dijamin Perlembagaan.
Awang Aslee menegaskan bahawa perjuangan menuntut hak untuk Sabah perlu dilakukan secara inklusif dalam semangat kerjasama antara negeri dan Persekutuan, bukannya melalui retorik politik identiti.
“Sabah lebih kuat sebagai sebahagian daripada Malaysia yang bersatu dan progresif. Apa yang kita perlukan ialah kepimpinan negeri yang berintegriti, stabil dan berwibawa,” ujarnya.
Awang Aslee juga menegaskan bahawa masa depan Sabah yang lebih kukuh dan sejahtera hanya dapat dicapai melalui kerjasama, kesatuan, dan kesetiaan kepada prinsip-prinsip Persekutuan Malaysia. – UMNO Online