Kekuatan Sistem Pendidikan Tercetus Dari Komitmen Para Guru – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 16 Mei – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kekuatan sistem pendidikan negara tidak hanya bergantung kepada dasar dan polisi tetapi tercetus dari komitmen para guru.
Menerusi hantaran di laman Facebook, beliau yang juga Presiden UMNO merakamkan ucapan terima kasih kepada para pendidik sempena sambutan Hari Guru yang tidak pernah jemu mencurahkan ilmu buat anak nusa.
“Di sebalik setiap kejayaan yang kita kecapi hari ini, berdirinya seorang guru yang pernah sabar membimbing saat kita masih terkial-kial belajar mengeja dan memahami erti kehidupan.
“Bersempena sambutan Hari Guru 2025 pada hari ini, saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua guru di Malaysia, dari ceruk desa hingga ke bandaraya… dari tadika hingga ke menara gading,” katanya.
Ujarnya, para guru juga memainkan peranan penting untuk membina masa depan anak bangsa dengan penuh keikhlasan.
“Merekalah insan-insan mulia yang tidak pernah jemu mencurahkan ilmu dan membentuk sahsiah pewaris masa depan negara.
“Saya percaya bahawa kekuatan sistem pendidikan negara tidak hanya terletak pada dasar dan polisi, tetapi juga bergantung kepada komitmen para guru yang mendidik dengan hati… membimbing dengan kasih, dan membina masa depan anak bangsa dengan penuh keikhlasan.
“Di bawah statistik dan sistem, jangan pernah hilang jiwa. Di celah data dan dasar, jangan pernah padam cinta. Teruskan menyalakan pelita. Kerana di hujung terang ilmu itu, terbentuklah sebuah bangsa yang merdeka jiwanya, mulia akhlaknya, dan tinggi martabatnya,” katanya. – UMNO Online