IBR Negeri Pahang: Manifestasi Perkukuh Integriti, Perangi Rasuah
KUALA LUMPUR, 15 Mei – Ikrar Bebas Rasuah (IBR) merupakan satu manifestasi kepada kesungguhan Kerajaan Negeri Pahang memperkukuhkan integriti dan memerangi rasuah secara menyeluruh.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi hantaran di laman Facebooknya telah hadir merasmikan Majlis Menandatangani IBR pada Rabu.
“Saya hadir untuk merasmikan Majlis Menandatangani IBR Peringkat Negeri Pahang sebagai manifestasi kesungguhan memperkukuh integriti dan memerangi rasuah secara menyeluruh.
“Majlis ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan pentadbiran yang bersih, telus, berakauntabiliti dan berintegriti,” katanya.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, Kerajaan Negeri Pahang akan melaksanakan Sistem Pengurusan Risiko Rasuah (CRM) dan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (ABMS – ISO 37001) untuk mengelakkan berlakunya sebarang ketirisan.
“Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan Sistem CRM dan Sistem ABMS – ISO 37001 di jabatan-jabatan kerajaan negeri untuk menutup ruang ketirisan di samping menyemai budaya pencegahan yang lebih sistematik.
“Sehingga kini sebagai besar syarikat berkaitan kerajaan negeri (S-GLC) telah melaksanakan ABMS bagi memperkukuh integriti pentadbiran syarikat,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa perjuangan menentang rasuah merupakan amanah yang perlu dipikul secara bersama.
“Dalam pada itu Kerajaan Negeri Pahang menyambut baik dan menyokong penuh dasar termasuk inisiatif Kerajaan Persekutuan khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memperkukuh ketelusan serta keadilan dalam sistem pentadbiran negara.
“Kerajaan Negeri percaya bahawa perjuangan menentang rasuah bukan sekadar tanggungjawab institusi, tetapi adalah amanah kolektif yang harus dipikul secara bersama. ‘Prestasi Dipertingkat, Kemakmuran Dipertahan’,” katanya lagi. – UMNO Online