UMNO79: Bina Kembali Kekuatan Hadapi Dinamika Politik – Tengku Zuhri

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Bersempena ulang tahun UMNO ke-79, Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai Tengku Datuk Zuhri Aziz menyeru akar umbi parti untuk bersama menghayati perjuangan membela agama, bangsa dan tanah air.

Menurut beliau ia penting bagi mengembalikan kekuatan UMNO melalui pelaksanaan strategi terbaik terutama dalam menghadapi dinamika politik.

“Dengan harapan yang menggunung bahawa kita akan kembali berada di persada politik tanah air pada suatu hari nanti.

“Kita gunakan masa yang ada ini untuk muhasabah diri dan bina kembali kekuatan tetapi perlu dibina dengan kesediaan dan keterbukaan untuk menerima perbezaan realiti politik hari ini dan memikirkan gerak kerja baru dan kaedah politik inovatif yang sesuai dengan kehendak rakyat mutakhir ini,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Mengulas lanjut kata beliau, UMNO sejak awal penubuhannya sehingga kini kekal membawa perjuangannya seperti terkandung dalam perlembagaan parti ini.

Katanya pengisian agenda UMNO juga termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan melalui perkara 3.1 hingga 3.7 dalam membela agama Islam, kepentingan Raja-Raja Melayu, bangsa Melayu, bumiputera termasuk ekonomi dan bahasa Melayu yang merupakan asas perjuangan setiap ahli UMNO.

“Perjuangan ini tidak pernah berubah dan keberadaan kita di dalam Kerajaan Perpaduan hari ini mencerminkan komitmen kita untuk memastikan perjuangan ini dicerminkan di dalam dasar negara.

“Penyertaan wakil UMNO di dalam Kabinet dan pentadbiran kerajaan negeri-negeri memastikan dasar negara akan sentiasa mencerminkan perjuangan asas ini.

“Sudah tentu pihak lawan akan bermain sentimen politik perkauman yang sempit untuk memenangkan undi dan sokongan, tetapi hakikatnya UMNO tidak pernah lari dari perjuangan asal ini dan saya yakin dan percaya jika timbul situasi di mana perjuangan ini terancam pucuk pimpinan kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya,” ujar beliau.

Sementara itu beliau turut sama mengulas berkenaan Sekolah Patriotik UMNO (SPU) yang disifatkan beliau sebagai idea terbaik kerana pelaksanaannya memerlukan iltizam politik.

“Saya berpandangan bahawa ia merupakan landasan penting terutama untuk anak muda memahami intipati dan teras perjuangan UMNO yang mungkin persepsinya semakin pudar disebabkan permainan sentimen yang melampau dan tidak bertanggungjawab,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79