Kerjasama Kerajaan Perpaduan Tidak Khianati Dasar Perjuangan UMNO

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Kerjasama politik Barisan Nasional (BN) bersama Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk Kerajaan Perpaduan tidak pernah mengkhianati dasar perjuangan UMNO.

Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Negeri Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, kerjasama ini tidak seperti Kerajaan PH 1.0 kerana ketika itu tiada parti teras Melayu yang kuat meskipun PPBM turut serta.

“Kerjasama politik ataupun ‘tahaluf siyasi’ kita bersama PH ini tidak bermakna satu penyerahan prinsip dan pengkhianatan terhadap dasar perjuangan UMNO itu sendiri. Dap pun kita tengok apabila kerjasama dengan UMNO hari ini, mereka tidak radikal seperti PH 1.0.

“Cuma dulu tiada ‘check and balance’. Tidak ada parti teras Melayu yang kuat di dalam kerajaan PH 1.0. Sebab itu orang daripada parti luar UMNO ini cukup cemburu sebab kita ini adalah parti yang paling berstruktur dalam negara ini.

“Kita ada di segenap lapisan masyarakat. Apabila kita diberi peranan dan peluang, saya percaya kita akan lebih dapat menerobos minda dan fikiran masyarakat,” katanya menerusi hantaran video di laman TikTok.

Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Setar dalam pada itu berkata, adalah menjadi cabaran generasi baharu di dalam parti untuk menghubungkan tradisi lama dan baru agar UMNO kekal relevan.

“Generasi lama masih terikat dengan konteks legasi UMNO sebagai pejuang kemerdekaan, pembangunan luar bandar, pengangkat martabat orang Melayu dan Islam.

“Generasi baharu yang ada sekarang ini cabaran mereka adalah untuk menghubungkan tradisi lama itu kepada nilai semasa iaitu keterbukaan, inklusiviti, keterbukaan, integriti dan juga libat urus serta kecekapan.

“Dua perkara ini perlu menjadi asas kepada pembentukan ataupun pendekatan baharu UMNO yang akan datang. Kita tengok pengundi muda hari ini mereka lebih tertarik dengan ikon-ikon daripada parti Muda dengan cara pendekatan selebriti. Tetapi perkara tersebut membuka citra dan pandangan baharu pengundi muda yang boleh mengikuti mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berpandangan bahawa UMNO perlu diperkasakan dari pelbagai sudut termasuklah struktur dalaman parti dan sebagainya.

“Kita kena tampil dengan naratif digital baharu. Kita kena perkasakan parti supaya UMNO hari ini memahami masa hadapan. Ini yang anak muda mahukan daripada UMNO. Reformasi daripada segi dalaman, struktur parti, pemilihan, budaya dan sebagainya… kita kena lihat balik satu persatu.

“Ahli-ahli UMNO kena sedar pola pengundian negara ini berubah terutamanya daripada segi polarisasi kaum. Hari ini UMNO ini sebagai parti politik teras Melayu yang nak terus memartabatkan dan mengangkat perjuangan bangsa dan agama Islam ini… dalam konteks kerajaan tetap meneruskan segala agendanya,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79