Belia Pencorak Masa Depan Negara, Terus Melangkah Dengan Yakin – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 15 Mei – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Hari Belia Negara (HBN) yang disambut setiap 15 Mei merupakan manifestasi penghargaan kerajaan terhadap peranan dan sumbangan besar golongan belia dalam pembangunan negara.
Beliau yang juga Presiden UMNO percaya generasi muda hari ini semakin matang, berilmu dan tinggi daya fikir dalam mendepani cabaran semasa yang semakin kompleks dan mencabar.
“Atas kesedaran inilah, kerajaan terus memperkasa pelbagai inisiatif bagi meluaskan peluang pembangunan belia, termasuk dalam bidang TVET, keusahawanan, ekonomi hijau dan ekonomi digital agar anak muda kita bukan sahaja mampu bersaing, tetapi turut bersedia memimpin perubahan masa hadapan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Ahmad Zahid dalam pada itu berkata belia hari ini adalah pencorak masa depan dan berharap mereka untuk melangkah dengan yakin dan menyumbang dengan penuh semangat.
“…kerana masa depan negara ini amat bergantung kepada keberanian dan kebijaksanaan kalian.
“Selamat menyambut Hari Belia Negara 2025. Terus melangkah gagah, yakin boleh! Demi Malaysia yang lebih gemilang. Insya-Allah,” ujar beliau. – UMNO Online