UMNO 79 Tahun: Bukti Ketahanan Dan Kematangan Politik – Pemuda Pahang

KUALA LUMPUR, 16 MeiUMNO kini meniti usia 79 tahun dengan rekod pencapaian yang kukuh dalam membina negara, kata Ketua Pemuda UMNO Negeri Pahang, Mohd Kamil Ibrahim.

Menurut beliau, jasa pemimpin-pemimpin UMNO dalam membangunkan negara bukanlah satu usaha yang mudah. Namun, parti ini telah membuktikan kemampuannya membawa Malaysia ke arah kemajuan dan kemakmuran.

UMNO telah membawa negara ini ke arah yang lebih baik, maju dan makmur. Ingatlah jasa UMNO yang sentiasa membantu rakyat tanpa mengira kaum, khususnya dalam aspek kebajikan, kemakmuran, ekonomi, sosial dan pelbagai lagi.

Ini membuktikan bahawa parti ini telah melaksanakan amanah untuk menjaga negara dengan baik. Walaupun pelbagai parti pernah menerajui kerajaan, UMNO tetap tampil sebagai parti yang mampu memimpin negara. Kita harus akui realiti bahawa inilah wajah sebenar UMNO yang kini berusia 79 tahun,” katanya kepada UMNO Online.

Mohd Kamil yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Raub menyifatkan perjalanan UMNO selama 79 tahun sebagai proses kematangan politik bagi parti tersebut.

Segala ujian yang ditempuhi UMNO sepanjang 79 tahun ini telah mematangkan parti. Rakyat juga dapat menilai bahawa walaupun berlaku pertukaran kerajaan, UMNO masih lagi diberi tempat dalam pemerintahan dan inilah perbandingan yang boleh dilihat dengan jelas.

Ini juga membuktikan bahawa menteri-menteri dari UMNO memiliki kredibiliti kepimpinan yang tinggi dalam menerajui negara. Tidak mustahil UMNO akan kembali menjadi pilihan utama rakyat pada pilihan raya akan datang,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Mohd Kamil turut menyatakan bahawa kemenangan UMNO dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Nenggiri, Mahkota dan Ayer Kuning menjadi petanda awal kebangkitan semula parti.

Kita semakin menghampiri detik-detik kejayaan semula apabila memenangi PRK di Nenggiri, Mahkota dan Ayer Kuning. Namun, kemenangan ini tidak seharusnya menjadikan kita leka dan alpa.

Sebaliknya, ia perlu menjadi pembakar semangat untuk terus memperkukuh UMNO dan memperbaiki segala kelemahan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya.

Untuk rekod, UMNO telah menyambut ulang tahun ke-79 pada Ahad lalu, setelah ditubuhkan pada tahun 1946. – UMNO Online

 

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79