Kerajaan Negeri Johor Hargai Usaha KEJORA Sediakan Rumah Mampu Milik
KUALA LUMPUR, 14 Mei – Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor amat menghargai usaha Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) dalam menyediakan rumah mampu milik kepada masyarakat luar bandar serta menjadikan penempatan baru lebih tersusun, selamat dan berdaya huni.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai itu berkata, pembangunan seperti di Taman Permata Layang, Kg Paya Kluang yang turut menawarkan pilihan rumah Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), kedai kos sederhana dan banglo pada harga berpatutan membuktikan komitmen kerajaan negeri membina komuniti yang seimbang antara kos dan kualiti.
“Saya juga tekankan kepada pihak KEJORA untuk menumpukan perhatian kepada kerja-kerja pembaikan ‘defect’ dan pematuhan teknikal supaya proses akhir penyerahan rumah kepada pembeli berjalan lancar tanpa penangguhan.
“Sebagai Exco Perumahan Negeri Johor, saya akan terus memastikan semua agensi termasuk KEJORA bergerak seiring dengan matlamat Kerajaan Negeri untuk menyediakan sekurang-kurangnya 100,000 rumah kepada golongan B40 dan M40 menjelang 2030.
“Kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, agensi pelaksana dan pihak berkuasa tempatan amat penting bagi memastikan dasar perumahan Johor benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, bukan hanya atas kertas,” katanya dalam satu catatan di laman Facebooknya.
Beliau telah menerima Taklimat Projek-Projek Perumahan oleh pihak KEJORA, selaras dengan arahan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi merangkap Pengerusi KEJORA, bagi memastikan kesinambungan agenda perumahan rakyat di kawasan Johor Tenggara.
Tambah Mohd Jafni, KEJORA telah berjaya membangunkan sebanyak 6,806 unit rumah pelbagai kategori di beberapa kawasan utama seperti Bandar Penawar, Bandar Tenggara, Bandar Mas, Bandar Petri Jaya, Bandar Sri Perani dan Taman Sri Lambak.
“Usaha ini turut diperluaskan ke lima buah kampung melalui pembangunan Perumahan Kampung Tersusun seperti di Mawai, Punggai, Tuan Seh dan Semangar Dalam, melibatkan manfaat kepada lebih 40,000 isi rumah,” katanya.
Selain itu, Mohd Jafni turut diberi taklimat mengenai status semasa Taman Penawar Harmoni yang menawarkan pelbagai jenis rumah mampu milik termasuk PKJA, PKJB, RMMJ dan KKS – dengan sejumlah 519 unit rumah keseluruhannya telah dibangunkan.
“Daripada jumlah tersebut, sebahagian besar telah selesai dijual dan hanya tinggal beberapa unit sahaja yang masih dalam proses dokumentasi dan penawaran kepada kuota Awam Melayu, Belia, orang kurang upaya (OKU) dan Prihatin Rakyat,” katanya.
Berhubung perkara tersebut, Mohd Jafni telah menegaskan supaya proses promosi dan pengiklanan semula untuk baki rumah yang belum terjual dipergiatkan segera bagi memastikan tiada unit perumahan yang dibiarkan kosong dalam jangka masa lama.
“KEJORA juga sedang dalam proses menyempurnakan projek perumahan baharu seperti di Bandar Petri Jaya dan Kampung Tanjung Buai yang telah siap 100% secara fizikal dan kini menunggu proses akhir sokongan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) oleh jabatan teknikal.
“Beberapa isu seperti kelewatan proses pengesahan oleh SAJ, IWK dan TNB turut dibentangkan – dan saya akan bantu menyelaras dengan agensi-agensi berkaitan supaya urusan teknikal dan dokumentasi dapat dipercepatkan,” katanya.
Justeru, Mohd Jafni mengucapkan tahniah kepada seluruh pasukan KEJORA atas pembentangan yang komprehensif, dan beliau akan terus memantau agar segala pelaksanaan berjalan mengikut jadual serta menepati piawaian.
“Insya-Allah, dengan semangat MAJU JOHOR dan bimbingan Yang Amat Berhormat (YAB) Menteri Besar Johor, kita akan terus mara memastikan setiap keluarga di Johor Tenggara memiliki tempat tinggal yang selesa, selamat dan berkualiti,” ujarnya. – UMNO ONLINE