UMNO Ke-79: Jerih Perih Akar Umbi, Tulang Belakang Paling Ampuh – Shamellya

KUALA LUMPUR, 14 Mei – Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Shamellya Norazizi menyifatkan 79 tahun UMNO dalam landskap politik negara menyaksikan jatuh, bangunnya untuk terus membawa agenda perjuangan kepada rakyat.

Beliau berkata, UMNO pada masa kini masih relevan disebabkan dukungan daripada akar umbi parti yang terus bersetia dalam mengukuhkan parti keramat ini.
“Menginjak ke usia 79 tahun bukanlah satu langkah mudah bagi sesebuah parti. Usia yang lebih separuh ini logiknya sudah kurang upaya namun, tidak buat ahlinya kerana selagi mana pasak sejarah terbina kukuh, selagi itu jugalah terangkum penuh fungsi parti ini buat anak watan. Pendek kata, jatuh sekali, bangkitnya pasti berkali kali.

“Lebih tujuh dekad perjalanannya; tiada yang mudah. Kita telah menyaksikan gegak gempita sorakan tatkala UMNO dijulang tinggi; ramai jumlahnya dan tak lupa waktu kita bukan sesiapa sunyi sepi pun tidak kurang hebatnya. Namun, masih ada yang setia sehingga kini. Terima kasih saya ucapkan.

“Setidaknya, jerih perih inilah yang menjadi tulang belakang paling ampuh agar UMNO terus memacu pembentukan dasar serta polisi negara Malaysia. Setiap pengalaman ini sudah melebarkan bumbung yang memayungi kestabilan dan kemakmuran agar manfaatnya dapat kita sama-sama rasai,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.

Mengulas lanjut, Shamellya berkata kesepakatan sebagai satu pasukan mantap perlu bergerak seiring dengan komitmen oleh semua ahlinya untuk memastikan parti ini terus kehadapan.

Menyentuh berkenaan Puteri UMNO beliau berkata sayap ini akan sentiasa mendambakan perhatian untuk didengari pandangannya sebagai penguat parti, sekaligus menjadikan UMNO sebagai pilihan dalam kalangan anak muda khususnya wanita muda.

“Faktanya sekarang, lebih 50 peratus pengundi muda sudah dicapai di setiap parlimen memberikan tanda agar ruang ini seharusnya dimanfaatkan sebaiknya dalam melahirkan anak muda yang lebih progresif serta mampu berdaya saing dengan parti lain di luar sana.

“Sebagai pimpinan wanita sayap muda yang menghela nafas dalam parti yang paling lama di Malaysia, visi kami sudahpun tergambar pada ulang tahun UMNO yang ke-100 kelak agar UMNO terus kekal berada pada titik paling gah (semula) serta menjadi pembela  agama, bangsa dan tanah air.

“Besar harapan anak muda yang baru mula bertatih ini untuk melihat komitmen taat setia semua pihak khususnya buat akar umbi untuk terus terjemahkan lafaz janji bukan untuk individu semata tetapi demi parti yang boleh diumpamakan bagai darah yang mengalir dalam diri kita semua iaitu parti UMNO,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79