Perak Berjaya Tarik RM200 Juta Pelaburan Baharu Dari Perancis – Saarani

KUALA LUMPUR, 14 Mei – Kerajaan Negeri Perak telah berjaya menarik pelaburan baharu sebanyak RM200 juta dari Perancis, maklum Menteri Besarnya, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya beliau berkata, syarikat Saint-Gobain telah mengumumkan pembesaran operasi pelaburan di Negeri Perak menerusi majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU).

“Meneruskan Misi Pelaburan Kerajaan Negeri Perak ke Paris dengan bertemu syarikat Saint-Gobain yang merupakan syarikat gergasi terkemuka dunia dalam industri pembuatan ‘papan simen gentian’ berpengkalan di Perancis.

“Syukur Alhamdulillah dalam pertemuan ini, Saint-Gobain telah mengumumkan pembesaran operasi pelaburan mereka di Negeri Perak menerusi majlis menandatangani MoU antara Saint-Gobain dan InvestPerak.

“Syarikat peneraju bahan binaan Perancis itu akan melabur lebih RM200 juta menerusi anak syarikatnya Saint-Gobain Prima Sdn Bhd untuk mewujudkan kemudahan pembuatan tercanggih di Taman Perindustrian Kanthan di Chemor, Perak,” katanya.

Ujarnya, pelaburan tersebut membuktikan bahawa Negeri Perak boleh memanfaatkan sumber-sumber asli termasuk mineral untuk memacu ekonomi bernilai tinggi.

“Pembesaran pelaburan strategik ini akan meningkatkan kapasiti pengeluaran dengan ketara produk bahan binaan (construction materials) seperti produk papan simen gentian premium syarikat, termasuk PRIMA Flex, PRIMA Plank, PRIMA Liner dan PRIMA Lattice.

“Pelaburan oleh Saint-Gobain ini menunjukkan bagaimana Perak boleh memanfaatkan sumber-sumber asli dan mineral untuk memacu aktiviti ekonomi bernilai tinggi, bukannya hanya mengeksportnya tanpa nilai tambah,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut beranggapan bahawa pelaburan baharu tersebut membuktikan keyakinan pelabur terhadap kestabilan Negeri Perak dan ia sejajar dengan pelan ‘Perak Sejahtera 2030’.

“Pelaburan baharu bernilai lebih RM200 juta ini membuktikan keyakinan para pelabur kepada negeri Perak sebagai destinasi pelaburan utama walaupun dunia ketika ini sedang menghadapi cabaran ketidaktentuan di peringkat global.

“Ia sejajar dengan pelan pembangunan negeri Perak Sejahtera 2030 iaitu Sejahtera Ekonomi dalam mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dan perniagaan serta peluang-peluang baharu kepada rakyat tempatan.

“Delegasi Negeri Perak disambut oleh barisan pengurusan tertinggi Saint-Gobain yang diketuai oleh Group CEO Mr. Benoit Bazin, Group CFO, Madam Maud Thuaudet dan CEO Saint-Gobain Malaysia & Singapore, Madam Lynette Siow,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79