Cakna Bukit Gantang, Sollehin Laksana Ziarah Kasih

KUALA LUMPUR, 14 Mei – Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie berbesar hati melakukan ziarah kasih menyantuni penduduk sekitar bagi mengeratkan silaturahim.

Terbaharu, beliau yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia mengunjungi Ketua UMNO Cawangan Larut Tin Dr Zall Kepli Md Rejab atas pemergian isteri tercinta Allahyarhamah Zanab yang meninggal dunia baru-baru ini.

“Saya dimaklumkan bahawa allahyarhamah telah selamat dikebumikan di Perkuburan Islam Masjid Al Islah, Jalan Taman Sungai Mas.

“Berkesempatan menziarahi beliau di kediaman untuk menyampaikan ucapan takziah secara peribadi, memandangkan saya tidak sempat hadir semasa majlis pengebumian sebelum ini.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh allahyarhamah, mengampuni segala dosanya dan menempatkan beliau dalam kalangan para solihin,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Sementara itu menerusi perkongsian sebelumnya, Mohammad Sollehin berkongsi kehadirannya ke kediaman keluarga Allahyarham Said Mohd Salleh Musa yang telah kembali ke rahmatullah pada 9 Mei lalu.

Menyifatkan pemergian allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat UMNO Cawangan Kurnia Jaya khususnya UMNO Bukit Gantang, beliau berkata Allahyarham antara aktivis UMNO yang paling aktif dan merupakan jentera paling setia dalam perjuangan parti.

“Komitmen dan semangat beliau sentiasa menjadi contoh kepada generasi pejuang akar umbi.

“Saya berkesempatan menziarahi keluarga allahyarham di kediaman beliau dan memohon maaf kerana tidak sempat menghadiri majlis pengebumian sebelum ini.

“Semoga kunjungan ini sedikit sebanyak dapat menyampaikan rasa dukacita dan penghargaan atas jasa serta pengorbanan allahyarham selama ini. Semoga roh allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan dalam kalangan para solihin,” ujar beliau.

Mohammad Sollehin dalam pada itu turut sama berbesar hati hadir ke Persidangan UMNO Cawangan Taman Kamunting Aman.

“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada seluruh kepimpinan UMNO Cawangan kerana berjaya menganjurkan persidangan dengan teratur dan penuh semangat kekeluargaan.

“Lebih membanggakan, hari ini juga menyaksikan penubuhan rasmi Wanita UMNO Cawangan Taman Kamunting Aman. Tahniah kepada barisan pertama kepimpinan Wanita yang pastinya akan menjadi tunjang penting dalam menggerakkan perjuangan parti di peringkat akar umbi.

“Kita terus perkukuh saf perjuangan, demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79