Masa Untuk Rapatkan Saf Dan Bersolidariti, Kesetiaan Tidak Tergugat – UMNO Tangga Batu
KUALA LUMPUR, 14 Mei – UMNO Bahagian Tangga Batu dengan penuh rasa tanggungjawab, setia dan semangat perjuangan, menzahirkan sokongan padu serta tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka.
Dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, Ketua UMNO bahagian berkenaan Datuk Rais Yasin berkata kepimpinan beliau yang penuh wibawa dan berpandangan jauh telah membawa banyak perubahan positif di negeri tersebut sekali gus telah berjaya memberikan nafas baharu kepada pembangunan Negeri Melaka.
“Segalanya telah dibuktikan dengan kerancakan pelaburan, memperkasakan rakyat, memperkemaskan sistem penyampaian pekhidmatan kerajaan dan terpenting memartabatkan peranan Kerajaan Negeri yang diterajui oleh UMNO? Barisan Nasional (BN) sebagai denyut nadi dan suara rakyat Melaka.
“Merujuk data pencapaian ekonomi Negeri Melaka yang menunjukkan peningkatan KDNK kepada RM46.9 bilion pada tahun 2023, kadar pengangguran terendah di negara iaitu hanya 1.8%, dan jumlah pelaburan mencecah RM8.18 bilion — mengatasi sasaran asal sebanyak RM5 bilion.
“Malah, lebih 50,000 peluang pekerjaan turut disasar melalui pembangunan tiga kawasan industri utama: Mcorp Hi-Tech Park, German Technology Park dan Elkay 2.0. Kejayaan-kejayaan ini menjadi bukti bahawa kepimpinan sedia ada sedang mengorak langkah yang tepat untuk masa depan Melaka yang lebih gemilang,” katanya.
Justeru, katanya lagi UMNO Bahagian Tangga Batu kekal berdiri teguh mempertahankan kestabilan politik dan kelangsungan pentadbiran Kerajaan Negeri yang dipimpin Datuk Seri Ab Rauf bin Yusoh.
“Kami percaya bahawa segala usaha untuk menggugat kepimpinan haruslah ditolak sama sekali kerana hanya merugikan rakyat dan mampu merencatkan pembangunan negeri yang sedang rancak digerakkan demi kesejahteraan rakyat.
“Kepada seluruh ahli UMNO, marilah kita rapatkan saf perjuangan, bersolidariti, perkukuh barisan, dan buktikan taat setia kepada Parti Keramat ini. Kesetiaan kita tidak tergugat, dan prinsip perjuangan kita kekal utuh untuk menjunjung harapan rakyat dan mempertahankan Agama, Bangsa, Tanah air,” ujarnya. – UMNO Online