UMNO Ke-79: Jangan Biar Sejarah Jadi Nostalgia, Terus Corak Kemenangan Masa Depan – Azhari
KUALA LUMPUR, 14 Mei – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari mengajak ahli UMNO untuk sama-sama menghayati amanat disampaikan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memaklumkan bahawa parti ini mesti berubah dan berani beradaptasi dengan realiti baharu.
Menurut beliau ini termasuk kembali menawan hati rakyat, terutama generasi muda serta menyeru agar akar umbi tidak boleh terus terbelenggu dengan perpecahan dalaman atau sentimen yang memecah-belahkan kekuatan parti.
“Sahabat-sahabat seperjuangan, inilah masanya kita memperkukuh saf, kembali merapatkan barisan dan bergerak serentak dalam satu arah. Jangan biarkan sejarah hanya menjadi nostalgia, tetapi jadikan ia panduan untuk mencorak kemenangan masa depan.
“Dari Shah Alam, saya menyeru kepada seluruh ahli akar umbi di seluruh negara – marilah kita bangkit dan kembalikan UMNO sebagai parti harapan rakyat,” katanya menerusi kenyataan.
Azhari dalam pada itu turut sama menggariskan tiga wasilah yang disebut Ahmad Zahid antaranya politik solusi iaitu fokus kepada penyelesaian isu rakyat, bukan sekadar retorik, politik legasi; melahirkan pewaris yang berwibawa, berani dan berfikir kritikal dari kalangan muda, wanita dan profesional.
Kemudiannya politik moderasi iaitu kekal sebagai parti pertengahan yang waras, matang dan menyatukan rakyat. – UMNO Online