Ahmad Zahid Ucap Takziah Insiden Tragis Libatkan Anggota FRU

KUALA LUMPUR, 13 Mei – Negara dikejutkan pagi ini dengan satu nahas tragis membabitkan kenderaan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan sebuah lori muatan batu di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan, yang mengorbankan beberapa anggota pasukan keselamatan.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya menyuarakan rasa dukacita mendalam atas kejadian tersebut.

“Saya telah mendengar sendiri laporan daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) berhubung tragedi ini,” katanya.

Beliau menyifatkan para anggota FRU yang terlibat sebagai wira negara yang sedang menjalankan tugas dan menggalas amanah demi keselamatan serta keamanan tanah air.

“Saya merakamkan ucapan takziah buat seluruh ahli keluarga mangsa. Kehilangan insan tersayang dalam keadaan sebegini merupakan satu ujian yang amat berat, dan saya mendoakan agar mereka dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan ini,” ujar beliau lagi.

Ahmad Zahid turut menzahirkan bahawa pengorbanan para anggota keselamatan tidak akan dilupakan dan akan terus terpahat sebagai lambang keberanian serta kesetiaan kepada negara.

“Semoga Allah SWT menerima segala amal bakti mereka, mengampunkan segala dosa, dan menempatkan roh mereka dalam kalangan orang-orang beriman serta beroleh ganjaran syurga-Nya,” katanya.

Dilaporkan, kejadian pagi Selasa itu melibatkan kenderaan FRU yang dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai melaksanakan tugas di bawah Op Chariot di Teluk Intan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79