Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor 2030 Diperhalusi, Akan Dilancar Tahun Ini
KUALA LUMPUR, 13 Mei – Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi bersyukur Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor 2030 sedang diperhalusi dan akan dilancarkan pada tahun ini.
Menurut Onn Hafiz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, ia merupakan satu pelan penting yang akan meletakkan Johor sebagai negeri pertama yang mempunyai kerangka pembangunan ekonomi halal yang menyeluruh.
“Pelan ini digubal bagi memperkasa ekosistem halal negeri Johor secara menyeluruh, daripada mencipta lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, menghasilkan produk halal bertaraf global, hingga membina rangkaian keusahawanan tempatan yang kompetitif.
“Dengan semakin banyak pelabur hadir ke Johor menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), pelan ini bakal menjadi pemangkin penting dalam menarik syarikat halal antarabangsa dan tempatan untuk beroperasi, berkembang dan berinovasi di Johor,” katanya dalam satu catatan di laman Facebooknya.
Tambah Onn Hafiz, antara inisiatif utama ialah sasaran untuk mendaftarkan 500 syarikat halal setiap tahun, mempercepatkan proses pensijilan dan menawarkan insentif menyeluruh kepada syarikat serta usahawan tempatan agar mereka mampu menembusi pasaran yang lebih luas.
Jelas Onn Hafiz lagi, Kerajaan Negeri bersama PIJ Holdings, PIJ Halal Ventures, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) akan terus memperkukuh kerjasama bagi menyokong syarikat-syarikat yang telah berjaya agar dapat berkembang ke peringkat lebih tinggi melalui sokongan pelaburan dan pengembangan pasaran.
“Insya-Allah, melalui pelaksanaan berfasa dan pemantauan yang teliti, Pelan Kemajuan Halal Johor 2030 akan memberi impak langsung kepada Johor dengan memperkukuh kedudukan sebagai hab ekonomi halal.
“Seterusnya menjadikan negeri ini sebagai contoh pembangunan ekonomi Islamik yang progresif di Malaysia,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE