Kerjasama Pas Terengganu-Pahang: Baik Jaga Negeri Sendiri Dulu – Tengku Haphiz

KUALA LUMPUR, 13 Mei – Pemuda Pas Negeri Terengganu dinasihatkan untuk menjaga negeri mereka sendiri sebelum menjalinkan kerjasama bersama Pemuda Pas Pahang dengan niat kononnya mahu menyelamatkan rakyat Pahang dari kegagalan UMNO.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera menerusi hantaran di laman Facebooknya berkata, kenyataan Ketua Pemuda Pas Terengganu, Mohd Harun Esa menjadi petanda bahawa barisan kepimpinan Negeri Terengganu perlu dirombak semula kerana dilihat gagal mengurus dan mentadbir.

“Sebab itu elok kita jaga negeri kita dulu. Apabila kita mencabar negeri yang lebih maju dan prestasinya lebih jauh ke hadapan, kelak kita terpaksa berhempas pulas dengan fakta untuk ‘backup’ kerajaan sendiri.

“Saya merasakan kenyataan sahabat saya Ketua Pemuda Pas Terengganu tempoh hari sebenarnya adalah signal kepada pucuk pimpinan Terengganu untuk diubah dan dirombak semula. Gagal mengurus dan mentadbir.

“Saya percaya beliau menunjukkan Pemuda Pas Terengganu lebih kompeten untuk memimpin Negeri Terengganu. Semoga kepimpinan Pemuda Pas segera laksana perubahan untuk ekonomi, pembangunan dan struktur pentadbiran Negeri Terengganu,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Minggu lalu media melaporkan, Pemuda Pas Pahang dan Terengganu memperkukuh kerjasama antara kedua-dua negeri bagi membantu merealisasikan misi ‘Pas Teraju Pahang’.

Ketua Pemuda Pas Pahang, Mohd Zarimi Abu Zih berkata, satu pertemuan strategik telah diadakan antara kedua pihak bagi menyelaraskan gerak kerja, memperkukuhkan jaringan organisasi, memperkasa agenda dakwah dan kebajikan di peringkat serantau.

Mohd Zarimi berkata, usaha besar itu bagi memposisikan Pas sebagai peneraju utama dalam mentadbir Pahang dengan pendekatan Islam yang adil dan sejahtera.

Untuk rekod, data menunjukkan bahawa Negeri Terengganu mengalami kemunduran dari segi ekonomi apabila unjuran prestasi janaan hasil negeri turun sebanyak RM 19.9 juta (-7.6 peratus) jika dibandingkan dengan Negeri Pahang yang meningkat 163.7 peratus antara tahun 2018 ke 2025.

Negeri Pahang yang ditadbir oleh Kerajaan Perpaduan sekali lagi menunjukkan kecemerlangan apabila sebanyak RM 1.09 bilion pelaburan asing telah diluluskan pada tahun 2024 manakala Kelantan (RM492.8 juta) dan Terengganu (RM4.6 juta). – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79