UMNO Terus Teguh di Usia 79 Tahun, Awang Aslee Seru Ahli Parti Kekal Bersetia

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Sempena ulang tahun UMNO ke-79, Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat, menyeru seluruh ahli parti agar terus berdiri teguh di belakang kepimpinan parti dan meneruskan perjuangan membela agama, bangsa dan tanah air.

Dalam kenyataannya, beliau menzahirkan penghargaan terhadap perjalanan panjang UMNO yang sarat dengan sejarah perjuangan, pengorbanan serta kejayaan sejak penubuhannya.

“Di sebalik segala cabaran zaman dan gelombang politik yang datang silih berganti, UMNO tetap teguh berdiri. Keteguhan ini adalah hasil kepimpinan yang berani, sabar dan berprinsip, diterajui oleh YAB Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi,” katanya.

Beliau turut mengiktiraf usaha Presiden UMNO yang telah memainkan peranan penting dalam mempertahankan parti daripada pelbagai ancaman, sekaligus mengembalikan keyakinan rakyat terhadap relevansi UMNO.

“Dalam ketika parti ini pernah diragui, beliau bangkit dengan semangat juang, memimpin kita untuk kembali percaya bahawa UMNO masih relevan, masih diperlukan dan terus menjadi harapan jutaan rakyat Malaysia,” tambah beliau.

Awang Aslee juga menyeru kepada semua ahli UMNO, khususnya yang setia dan genuine, untuk terus memperkukuh perjuangan parti dengan semangat yang tidak pernah luntur.

“UMNO bukan sekadar parti lama yang memperjuangkan kemerdekaan negara ini, tetapi parti yang terus menyala dengan semangat baharu. UMNO bukan hanya warisan – ia adalah janji. Janji kita kepada generasi akan datang bahawa kita tidak akan menyerah,” tegasnya.

Beliau juga menegaskan komitmen UMNO untuk terus memperjuangkan suara orang Melayu dan bumiputera, menjunjung Islam sebagai agama Persekutuan serta mempertahankan kestabilan negara. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79