Ulang Tahun ke-79: UMNO Teguh Setia Demi Agama, Bangsa dan Negara – Mohd Rafi

LABUAN, 12 Mei – Semalam genap 79 tahun usia penubuhan UMNO yang terus mengukuhkan kedudukannya sebagai parti setia berjuang demi agama, bangsa dan tanah air, walaupun telah melalui pelbagai cabaran sejak ditubuhkan pada 1946.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan berkata, ulang tahun kali ini bukan sekadar memperingati sejarah tetapi menyeru seluruh ahli untuk memperteguh tekad dan semangat perjuangan demi masa depan negara.

Ujarnya, daripada sebuah gerakan menentang Malayan Union, UMNO berkembang menjadi tulang belakang kepada kemerdekaan negara, pembentukan identiti bangsa serta pembangunan Malaysia moden.

“Meskipun menghadapi krisis politik, peralihan kepimpinan dan perubahan landskap sosioekonomi, UMNO tetap utuh berdiri sebagai wadah perjuangan rakyat.

“UMNO tidak sempurna, tetapi kesetiaan ahlinya, kekuatan jentera akar umbi, dan prinsip perjuangannya menjadikan parti ini terus relevan. Setiap cabaran telah menguji tetapi juga mengukuhkan semangat juang kita,” katanya dalam kenyataan sempena ulang tahun ke-79 UMNO.

Tambah beliau, UMNO hari ini bukan sahaja mempertahankan warisan, malah bersedia mendepani perubahan dengan semangat baharu dan iltizam membina semula keyakinan rakyat serta memperkukuh perpaduan.

“Pelbagai cabaran tidak membuat UMNO alah, berpaling atau mengalah. Walau diuji gelombang perubahan politik yang begitu pantas, UMNO tetap dengan prinsip ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’,” ujarnya.

Mohd Rafi turut menegaskan bahawa denyut nadi rakyat masih selari dengan nilai perjuangan UMNO yang berpaksikan khidmat prihatin dan membela suara rakyat.
Justeru, beliau mengajak seluruh ahli untuk terus bersatu dan menanam azam baharu agar UMNO kembali dominan, bukan hanya untuk kepentingan parti, tetapi demi Malaysia secara keseluruhan.

“UMNO tetap relevan, dulu, kini dan selamanya – Insya-Allah. Selamat Hari UMNO ke-79,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79