UMNO Sambut Ulang Tahun ke-79, Hayati Sejarah, Dakapi Perjuangan
KUALA LUMPUR, 11 Mei – UMNO hari ini menyambut ulang tahunnya yang ke-79, bertepatan dengan musim Mesyuarat Tahunan Cawangan UMNO di seluruh negara.
Dalam satu kenyataan sempena ulang tahun tersebut, Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Hasnal Rezua Merican menyeru seluruh ahli parti agar menghayati sejarah penubuhan UMNO dan terus mendakap semangat perjuangan asal yang menjadi tunjang kekuatan parti sejak 1946.
Menurut beliau, UMNO hanya berjuang bersendirian sebagai parti eksklusif Melayu tanpa sebarang kerjasama dengan kaum lain selama lima tahun pertama kewujudannya, iaitu dari tahun 1946 hingga 1951 di bawah pimpinan Datuk Onn Jaafar.
Namun katanya, perubahan landskap politik tanah air menyaksikan YTM Tunku Abdul Rahman mengambil langkah bijak membentuk kerjasama dengan MCA menjelang Pilihan Raya Munisipal Kuala Lumpur pada tahun 1951, yang akhirnya membawa kepada pembentukan Parti Perikatan bersama MIC pada tahun 1955.
“Parti Perikatan menerajui negara hingga tahun 1969, sebelum tercetusnya Tragedi 13 Mei. Dari episod hitam itu, lahirlah pendekatan baharu yang diterajui Tun Abdul Razak dan Tun Dr Ismail dengan pembentukan Barisan Nasional, yang menghimpunkan parti-parti pelbagai kaum, termasuk yang dahulunya menjadi pencabar utama kepada Perikatan dan BN.”
Hasnal menegaskan bahawa perjuangan UMNO tidak pernah goyah walaupun terpaksa berdepan dan bekerjasama dengan parti-parti yang suatu ketika dahulu menewaskan gabungan UMNO seperti Pas, Gerakan, Berjaya dan PBS.
Sebaliknya, katanya, ia memperkukuh tekad UMNO untuk mempertahankan teras perjuangan bangsa Melayu dan agama Islam.
“UMNO tidak harus berasa janggal atau bersalah apabila dituduh tidak sehaluan dengan naratif perjuangan Melayu dan Islam. UMNO adalah pemilik sebenar naratif ini yang telah kita institusikan dalam Perlembagaan Persekutuan,” tegas beliau.
Dalam kenyataan itu juga, beliau menyentuh tentang Pas yang hanya bersama UMNO dalam tempoh singkat antara 1973 hingga 1978, dan menegaskan bahawa UMNO kekal konsisten dalam memperjuangkan agenda Melayu dan Islam sejak penubuhannya.
“Pejuang sejati UMNO tidak akan terpedaya dengan naratif yang terpesong dan buta sejarah,” katanya lagi.
Hasnal juga mengucapkan tahniah kepada seluruh ahli parti sempena ulang tahun ke-79 UMNO dan menyeru mereka untuk terus berjuang mempertahankan maruah dan identiti UMNO sebagai parti terulung negara.
“Selamat hari ulang tahun ke-79 buat parti terulung negara, UMNO, dan Selamat berjuang kepada para pejuang sejati UMNO!” ujarnya. – UMNO Online