UMNO 79 Tahun: Perkukuh Dasar Pro-Rakyat, Bina Keyakinan Generasi Muda

SEREMBAN, 11 Mei – UMNO hari ini menyambut ulang tahunnya yang ke-79, memperingati penubuhannya pada 11 Mei 1946 yang menjadi titik tolak kepada perjuangan kemerdekaan tanah air serta pembinaan negara Malaysia moden.

Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, ulang tahun ini bukan sekadar peringatan sejarah, tetapi juga pengiktirafan terhadap sumbangan besar UMNO dalam membentuk asas negara bangsa yang stabil dan makmur.

“UMNO lahir daripada semangat kebangkitan anak bangsa yang menolak penjajahan dan berjuang untuk kemerdekaan. Sejak itu, UMNO terus menjadi tunggak kepada pembangunan negara selama lebih enam dekad,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebooknya.

Beliau turut mengimbas detik sukar selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada tahun 2018, apabila UMNO buat pertama kalinya menjadi pembangkang. Namun katanya, parti itu tidak tersungkur, sebaliknya memilih untuk bermuhasabah dan memperbaiki kelemahan.

Dengan izin Allah dan kepercayaan rakyat, katanya, UMNO kembali menjadi sebahagian daripada kerajaan melalui pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas PRU-15.

“Perjalanan ini membuktikan bahawa UMNO adalah parti yang matang, inklusif dan sentiasa mengutamakan kepentingan negara mengatasi politik sempit,” ujar beliau.

“Kini, UMNO menjejak usia 79 tahun, cabaran yang menanti tidak kurang besar. Kita sedang berhadapan dengan landskap politik baharu, kehendak rakyat yang semakin tinggi dan dunia yang berubah pantas.

“Maka UMNO perlu terus bertransformasi dengan mengangkat suara rakyat, memperkukuh dasar-dasar pro-rakyat, dan membina keyakinan generasi muda terhadap perjuangan kita.”

Sebagai Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Jalaluddin juga mengajak seluruh ahli untuk memperkukuh perpaduan, memelihara integriti dan menjadi agen penyatuan dalam masyarakat.

“Negeri Sembilan akan terus menjadi kubu kuat UMNO dengan semangat kerjasama antara pemimpin, akar umbi dan rakyat,” katanya mengakhiri kenyataan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79