Ulang Tahun Ke-79: Ahmad Zahid Seru Ahli Pertahan Legasi Perjuangan UMNO

KUALA LUMPUR, 10 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan penghargaan kepada seluruh ahli dan penyokong parti sempena ulang tahun ke-79 UMNO yang akan disambut pada 11 Mei.

Dalam satu kenyataan menerusi akaun Facebooknya, Ahmad Zahid berkata ulang tahun ini melambangkan kematangan serta kekuatan akar perjuangan UMNO yang telah sekian lama menjadi tunggak kepada pembentukan negara bangsa Malaysia.

“UMNO merupakan wadah perjuangan rakyat. Ia lahir dari semangat kebangsaan, diasaskan atas keikhlasan dan keberanian anak watan yang menolak penjajahan dan menuntut kemerdekaan,” ujarnya.

Beliau turut mengakui cabaran yang dihadapi parti termasuk perpecahan, politik fitnah dan gelombang perubahan, namun menegaskan bahawa UMNO tetap teguh menggalas tanggungjawab sebagai parti yang memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air.

Kini, katanya, UMNO kembali menjadi tunjang kestabilan dalam Kerajaan Perpaduan dan komited meneruskan agenda pembangunan inklusif demi kesejahteraan rakyat.

“79 tahun bukanlah usia yang kecil. Ia lambang kematangan dan kekuatan akar perjuangan. UMNO telah melahirkan generasi pemimpin, membangunkan institusi, menegakkan keadilan sosial dan memberi harapan kepada rakyat di kota mahupun di desa.”

Beliau turut menyeru ahli UMNO, khususnya generasi muda, untuk memperbaharui iltizam dan semangat perjuangan demi memastikan UMNO kekal relevan dan progresif menjelang abad kedua kewujudannya.

“Dengan kesatuan dan keberanian, kita akan terus membawa UMNO ke abad yang kedua sebagai parti yang membina, bukan membinasakan,” tegas Ahmad Zahid. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79