BN Sabah Sedia Bergerak Seiring PH Hadapi PRN-17 – Bung Moktar
KOTA KINABALU, 9 Mei – UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17) demi kestabilan dan masa depan negeri.
Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, keputusan ini selaras dengan hasil Mesyuarat Kepimpinan Tertinggi antara Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 8 Mei yang bersetuju memperkukuhkan kerjasama antara kedua-dua gabungan politik itu.
“Kita akui, realiti politik hari ini menuntut kematangan dan keikhlasan dalam membina kestabilan. Demi masa depan negeri, kita memilih untuk berganding bahu bukan sekadar untuk menang pilihan raya, tetapi untuk membina Sabah yang lebih baik dan terurus,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut Bung Moktar, rundingan kerjasama termasuk pengagihan kerusi akan dilaksanakan secara teliti oleh kepimpinan BN dan PH di peringkat negeri, dengan semangat muafakat sebagaimana diputuskan oleh pimpinan tertinggi di peringkat kebangsaan.
Beliau turut menegaskan bahawa jentera BN Sabah akan digerakkan sepenuhnya dengan komitmen, disiplin dan keikhlasan untuk menghadapi PRN17 sebagai satu pasukan yang bersatu dan matang.
“Kita bukan sahaja mahu menang, tetapi kita mahu menang dengan maruah dan mandat rakyat yang tulen,” tegas beliau.
Bung Moktar menambah, UMNO Sabah percaya bahawa kestabilan politik hanya dapat dicapai apabila kuasa digunakan secara amanah dan politik dijalankan dengan adab serta matlamat yang jelas malah bukan untuk kepentingan diri, tetapi untuk kebaikan negeri.
“Kita telah belajar daripada masa lalu, dan hari ini kita bersedia untuk membina masa depan bersama. Demi Sabah, demi rakyat, kita bersatu. Kita matang, kita melangkah ke hadapan. Radu Tatap Radu,” katanya lagi. – UMNO Online