UMNO 79 Tahun: Platform Anak Muda Bentuk Masa Depan – Puteri UMNO Negeri Sembilan


SEREMBAN, 9 Mei – Sempena sambutan ulang tahun ke-79 penubuhannya, UMNO terus diangkat sebagai parti keramat yang teguh memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air.

Dalam hal ini, Pergerakan Puteri UMNO Negeri Sembilan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada UMNO atas pencapaian bersejarah itu.

Ketuanya, Hazratul Ilani Misdar menegaskan bahawa UMNO bukan sekadar sebuah entiti politik yang berakar dalam sejarah, tetapi sebuah platform yang terus relevan dan harus dihayati oleh generasi muda masa kini.

“Anak muda adalah nadi masa depan negara. UMNO menjadi platform penting untuk mereka membentuk masa depan yang lebih adil, inklusif dan progresif,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menekankan bahawa suara anak muda perlu didengar, dipimpin dan diberikan peluang untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam pembangunan negara.

“Dengan idea yang segar, semangat yang jitu dan jiwa yang patriotik, anak muda bersama UMNO mampu membina sebuah negara yang lebih gemilang,” tambahnya.

Pergerakan Puteri UMNO Negeri Sembilan menyeru agar seluruh ahli, khususnya golongan muda, terus berganding bahu memperkukuhkan perjuangan parti demi masa depan Malaysia.

“Kita Gerak Bersama!”, ujar Hazratul Ilani mengakhiri kenyataan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79