BPlant Bantu Usaha Kerajaan Madani Bangunkan Negara Bangsa Progresif – Mohamed Khaled

KUALA LUMPUR, 9 Mei – Bousted Plantations Berhad (BPlant) dilihat sedang membantu usaha kerajaan untuk membangunkan sebuah negara bangsa yang progresif, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO telah meluncurkan Projek JanaVeteran BPlant dan Program Santai Teluk Sengat pada Khamis.

“Semasa berada di Ladang Teluk Sengat, Kota Tinggi, Johor milik BPlant, saya turut meluncurkan Projek JanaVeteran BPlant dan Program Santai Teluk Sengat.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada BPlant kerana memperkenalkan program yang memperkukuh hubungan antara komuniti melalui inisiatif pertanian dan kemasyarakatan.

“Dengan adanya program seumpama ini, BPlant memberi penekanan kepada satu budaya yang cukup penting. Sebuah budaya yang menanam dan menyuburkan nilai-nilai positif dalam kalangan masyarakat, iaitu keprihatinan,” katanya.

Ujarnya, beliau percaya bahawa BPlant akan terus menerapkan budaya baik tersebut di samping memastikan keberadaannya dalam komuniti dapat dirasai masyarakat setempat.

“Saya percaya BPlant akan terus menerapkan budaya yang baik ini dan memastikan kehadirannya dalam komuniti memberi makna dan dirasai oleh masyarakat setempat.

“Secara tidak langsung, BPlant membantu usaha kerajaan membangunkan sebuah negara bangsa yang progresif… selaras aspirasi Malaysia Madani mendambakan masyarakat yang mempunyai nilai-nilai baik dan unggul,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut mengucapkan tahniah kepada BPlant kerana menyahut cabaran dan peranan dengan meletakkan soal kesejahteraan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai keutamaan.

“Sebagai sebuah syarikat di bawah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), peranan lebih besar boleh dimainkan selain daripada memastikan LTAT beroleh dividen yang tinggi. Ini termasuklah peranan meletakkan soal kesejahteraan veteran ATM sebagai antara tonggak utama.

“Tahniah kepada BPlant yang menyahut cabaran dan peranan ini. Kementerian Pertahanan memberi sokongan penuh dalam usaha yang dilaksanakan oleh syarikat sebagai penghargaan kepada para veteran ATM,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79