Sekolah Patriotik Medium Terbaik Untuk Kukuhkan Jati Diri – Ahmad Jazlan
KUALA LUMPUR, 12 Mei – Sekolah Patriotik UMNO dilihat sebagai satu inisiatif penting bagi menyedarkan kembali masyarakat, khususnya golongan muda, mengenai peranan dan sejarah perjuangan UMNO, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub.
Ahmad Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Machang berkata, ramai anak muda pada masa kini seakan-akan lupa dan tidak memahami peranan penting UMNO dalam pembentukan negara.
“UMNOlah ‘bapa perpaduan’, UMNO yang mengandung perpaduan kerana penyatuan orang Melayu bermula daripada UMNO dan kemudian parti ini ditubuhkan. Di situlah bermulanya gerakan untuk mencapai kemerdekaan di atas nama Pertubuhan Melayu Kebangsaan Bersatu (UMNO).
“Pentingnya menyedarkan golongan muda yang ada pada hari ini dan berharap Sekolah Patriotik UMNO ini akan mendapat sambutan di kalangan anak-anak Melayu muda yang perlu tahu apakah peranan yang dimainkan oleh UMNO dan selepas mereka memahami terpulang pada mereka hendak bersama atau tidak, itu adalah hak mereka.
“Penyatuan masa zaman dahulu telah dibentuk oleh UMNO dan bukannya dibentuk oleh parti-parti yang ada di dalam negara ini. UMNO yang mencetuskan perpaduan orang Melayu,” katanya kepada UMNO Online.
Untuk rekod, UMNO menyambut ulang tahunnya yang ke-79 pada 11 Mei ini setelah ditubuhkan pada tahun 1946.
Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-79 kali ini lebih bermakna dengan Majlis Graduasi Sekolah Patriotik UMNO yang melibatkan penyertaan 48 orang pelajar. – UMNO Online