BN Dan PH Sepakat Bekerjasama Hadapi PRN Sabah

KUALA LUMPUR, 9 Mei – Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) hari ini mengumumkan kesepakatan untuk menjalin kerjasama strategik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.

Dalam satu kenyataan media bersama dimaklumkan bahawa perkara itu diputuskan dalam satu mesyuarat kepimpinan tertinggi yang diadakan pada 8 Mei antara Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Bentuk kerjasama termasuk soal pengagihan kerusi dan perundingan dengan mana-mana parti lain akan diperincikan bersama di antara kepimpinan PH dan BN Negeri Sabah.
“Segala keputusan akan dimuktamadkan oleh kepimpinan tertinggi PH dan BN di peringkat kebangsaan,” katanya.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dan Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

PRN Sabah dijangka akan berlangsung dalam masa terdekat lantaran tempoh pentadbiran kerajaan negeri sedia ada yang ditadbir oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor akan berakhir pada Oktober 2025. – UMNO Online

Kerajaan Perpaduan 9 MEI 2025

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79