Apa Jua Keadaan Kesejahteraan Rakyat Terus Jadi Keutamaan – Rais
KUALA LUMPUR, 9 Mei – Kesejahteraan masyarakat setempat akan terus menjadi keutamaan bagi Exco Kanan Kerajaan Negeri Melaka yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin.
Bagi beliau segala isu yang timbul termasuklah soal banjir dan cerun runtuh serta pelbagai perkara berkaitan lain akan diambil tidnakan segera termasuklah pelbagai perancangan baik jangka masa pendek mahu pun untuk jangka masa panjang.
“Alhamdulillah… semalam sejurus selesai mempengerusikan Mesyuarat Khas Penyelarasaan Program W.R.U.R di JAPERUN Sungai Udang, saya telah turun padang meninjau dua lokasi cerun runtuh yang menyebabkan hakisan jalan, iaitu di Taman Seri Bertam dan Kampung Bertam Hulu.
“Tinjauan ini penting bagi menilai segera langkah intervensi dan tindakan pembaikan yang perlu diambil demi keselamatan penduduk setempat. Turut bersama saya dalam lawatan ini ialah Ir Mohd Adnan bin Ahmad Fauzi, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Melaka; Clr. Encik Ahmad Yusof Rahmat dan Clr. Encik Mohd Faizal Kamaruddin, Ahli Majlis MBMB,” katanya kepada UMNO-Online.
Beliau seterusnya menambah hasrat dan kepercayaan rakyat yang telah memberikan amanah perlu dilaksanakan sebaiknya agar masyarakat setempat menikmati kesejahteraan yang sewajarnya bagi memudahkan kehidupan harian masing-masing.
“Saya akan pastikan isu ini disusuli dengan tindakan segera dan penyelesaian jangka pendek dan panjang, agar kesejahteraan rakyat tidak terjejas dan risiko bencana dapat dikurangkan, insya Allah,” ujarnya.- UMNO Online